FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PEREDARAN zaman yang memperlihatkan remaja lelaki dan perempuan lebih bebas berbanding dahulu, menyebabkan hasrat kerajaan menaikkan had umur kelayakan berkahwin kepada 18 tahun dilihat sangat tidak wajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, secara dasarnya Terengganu menolak cadangan itu kerana ia melanggar hak dan syariat Islam.

Beliau berkata, dalam keadaan lelaki dan perempuan lebih bebas berbanding dahulu, kerajaan negeri bimbang langkah menaikkan had umur kelayakan berkahwin kepada 18 tahun hanya akan menyumbang kepada peningkatan masalah sosial terutama maksiat dan zina.

Katanya, kerajaan Terengganu kekal dengan pendirian dan ketetapan undang-undang syariah negeri yang membenarkan seseorang itu bernikah selepas mencapai akil baligh, namun perlu ada kebenaran dan persetujuan ibu bapa.

“Sebab apa kerajaan turunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, tetapi had umur kelayakan untuk berkahwin pula dinaikkan sehingga 18 tahun.

“Di zaman ini, remaja sekarang terutama wanita mencapai akil baligh seawal usia 12 tahun dan dari segi syarak mereka sudah layak berkahwin.

“Sekarang ini budak umur 12 tahun pun dah berzina. Sekarang kita nak naikkan had kelayakan kahwin pada usia 18 tahun pula. Kita bimbang apabila kita menyukarkan proses perkahwinan ini, perlakuan maksiat akan berleluasa.

“Ini yang orang panggil maqasid syariah yang tidak betul. Kita sepatutnya tutup jalan dan ruang untuk orang melakukan maksiat terutamanya zina, tetapi kita buka jalan ke situ pula dengan menyukarkan kelayakan perkahwinan,” katanya kepada NSTP.

Malah, Satiful Bahri turut bersetuju dengan cadangan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar untuk menurunkan had umur kahwin perempuan kepada 14 tahun dan lelaki kepada 16 tahun bagi mematuhi undang-undang syariah.

Katanya, ia bersesuaian dengan gaya hidup dan persekitaran di negeri ini yang memperlihatkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun sudah keluar bekerja.

“Kita tengok di sana berapa ramai kanak-kanak yang sudah bekerja di usia muda. Macam ibu bapa kita dulu, usia 12, 13 tahun mereka dah berkahwin,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini menegaskan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun susulan isu perkahwinan kanak-kanak dengan duda berumur 44 tahun di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:07 PM