Wartawan NSTP

PARA mufti berbeza pandangan terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Sebahagian mufti bersetuju dengan cadangan itu dengan harapan ia mampu melindungi kebajikan kanak-kanak daripada menjadi mangsa eksploitasi namun ada berpandangan undang-undang itu bertentangan dengan syarak serta mengundang risiko zina.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat penetapan had umur minimum perkahwinan termasuk dalam kategori taqyid al-mubah iaitu perkara yang harus dengan suatu maslahat bagi menegakkan keadilan dan bukan bertujuan mengharamkan apa yang dihalalkan.

“Kerajaan perlu menggubal undang-undang yang lebih meraikan Maqasid Syariah. Justeru, melihat kepada uruf serta adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur kecuali kes tertentu saja dan apa yang berlaku dalam kes terpencil, kami sifatkan sebagai nadir dan jarang,” katanya kepada NSTP.

Pandangan sama dikemukakan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad kerana jika masyarakat berpendapat perlu menaikkan had umur kepada 18 tahun yang mana usia itu sudah mencapai kecerdikan, ia tetap boleh diterima pakai dalam Islam.

“Jika kita merasakan perlunya pindaan, syorkan kepada kerajaan negeri. Kita tiada masalah kerana kedua-dua (umur akil baligh dan had umur 18 tahun) dibenarkan oleh Islam,” katanya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkongsi pendapat cadangan itu wajar sekiranya terdapat keperluan bagi membendung masalah eksploitasi kanak-kanak.

Wan Salim berkata, ulama berpendapat perkahwinan dibenarkan apabila mencapai usia baligh tetapi ia bukan perintah wajib dipatuhi, justeru pihak berkuasa dibolehkan membuat ketetapan atau keputusan bagi menjamin kepentingan kanak-kanak.

Bagi Mohd Yusof cadangan menaikkan had umur perkahwinan itu dapat melindungi kebajikan kanak-kanak yang mungkin menjadi mangsa perkahwinan diatur keluarga.

“Ada keluarga yang berhutang mencagarkan anak mereka dan akibatnya, anak muda ini terpaksa dikahwinkan kepada si pemiutang. Ini benar-benar terjadi,” katanya.

Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang mempersoalkan sekiranya berlaku situasi kanak-kanak perempuan bawah umur terlanjur serta mengandung.

“Jika kanak-kanak itu dan pasangannya didapati berzina dan mengandung, maka cara paling baik ialah perkahwinan selepas mendapat keizinan mahkamah. Tetapi jika undang-undang dipinda untuk naikkan had umur perkahwinan, bermaksud dia perlu tunggu sampai umur 18 tahun, masa itu mungkin dia sudah beranak,” katanya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia bertentangan hukum syarak dan boleh membuka ruang kepada perzinaan dalam kalangan remaja.

“Kenapa nak sekat dan menambahkan lagi keburukan terhadap gejala sosial sedia ada. Dalam hukum syarak mereka yang sudah baligh dibenarkan untuk bernikah, biasanya perempuan usia 14 tahun sudah baligh. Tetapi, jika usia terlalu muda dan berkahwin dengan lelaki yang sudah berusia, itu saya pun tidak setuju,” katanya.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pula berpendapat perkara paling penting ialah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan membabitkan kanak-kanak.

“Saya malah cadangkan had umur diturunkan kepada 14 tahun untuk perempuan dan lelaki pula kepada 16 tahun. Bawah daripada umur itu perlu dapatkan kebenaran khas mahkamah.

“Kenapa dibenarkan kahwin awal, kerana anak-anak sekarang sudah amat matang dan terdedah kepada soal seks lebih awal. Justeru, eloklah dikawal dan dibenarkan kahwin awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 6:45 PM