FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Aantara perkara paling berharga dimiliki manusia yang mempunyai fitrah murni ialah semangat cintakan negaranya. Semangat cintakan tanah air memang ada dalam syariat Islam. Allah SWT menetapkan segala hak dan kewajipan demi menjaga maslahah (kebaikan) yang sepatutnya dinikmati oleh setiap insan sama ada berkaitan perkara dunia dan akhirat. Apatah lagi, semangat cintakan negara juga berkaitan dengan perasaan cinta yang sedia ada dalam jiwa manusia.

Perkara ini juga jelas sebagaimana beberapa pernyataan Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan mengenai kisah atau keadaan mereka yang meninggalkan tanah air mereka termasuk para nabi. Antaranya ialah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): Bunuhlah diri kamu sendiri atau keluarlah dari tempat kediaman kamu nescaya mereka tidak akan melakukannya kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka)." (Surah al-Nisa' ayat 66)

Antara pengajaran paling besar berkenaan semangat cintakan negara ialah kisah Nabi Muhammad SAW ketika diperintahkan Allah SWT untuk berhijrah ke Madinah. Memang cabaran besar dan detik yang sangat sukar untuk meninggalkan tanah tumpah darah baginda. Namun, demi mentaati perintah Allah SAW dan meluaskan Islam, dituruti dan terbukti dengan kegemilangan yang dicapai di bumi Madinah. Rasulullah SAW bersabda dengan merujuk kata-katanya kepada bumi Makkah yang bermaksud: "Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku daripadamu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Allah SWT menceritakan tentang ciri-ciri mereka yang berhijrah dari Makkah ke Madinah bahawa mereka adalah orang beriman dan kuat berpegang teguh kepada agama Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia daripada Allah dan keredaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya)." (Surah al-Hasyr, ayat 8)

Bukan mudah meninggalkan tempat yang sekian lama didiami dan berpisah dengan keluarga. Hal ini sangat menyentuh hati dan perasaan.

Rasulullah SAW menggambarkan mereka dengan nilai yang sangat besar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berada di waktu pagi dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat jasmaninya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan seluruh dunia ini telah diberikan kepadanya." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Tuntutan terbesar daripada setiap warganegara yang cintakan tanah air ialah menumpukan seluruh kasih sayang dan hidup dengan penuh persaudaraan sebagaimana kehidupan adik-beradik. Setiap warganegara mestilah memartabatkan seluruh dasar agama Islam yang sebenar serta memperjuangkan prinsip agama Islam yang mulia. Antara tuntutan terbesar ialah dengan mengukuhkan tali persaudaraan dan hidup bantu-membantu serta tolong-menolong. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah Maidah, ayat 2)

Konsep persaudaraan yang dinyatakan Allah SWT inilah yang menjadi tunjang keharmonian negara. Dasar ini sangat besar peranannya sebagaimana dibuktikan oleh Rasulullah SAW semasa membina kota Madinah dan seterusnya memajukannya sehingga menjadi kota termasyhur.Konsep persaudaraan ini jelas daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Konsep persaudaraan dalam Islam dapat difahami dengan lebih jelas daripada sabda Rasulullah SAW: "Perumpamaan orang Mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota sakit, maka anggota yang lain susah tidur atau merasai sakitnya." (Hadis Muttafaq Alaih)

Umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW sangat memahami prinsip asas ini. Mereka membuktikannya dalam pelbagai situasi yang mereka hadapi. Dari situlah timbulnya satu lagi dasar yang sangat penting iaitu nasihat menasihati. Dasar ini sangat bermakna terutamanya apabila kita memahami bahawa setiap manusia diciptakan Allah SAW berbeza-beza. Maka, mereka perlukan orang lain untuk menasihati mereka.

Satu lagi tanggungjawab berkaitan semangat cintakan negara ialah mempertahankan negara daripada ancaman dan sanggup berkorban demi negara. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" (Surah al-Baqarah, ayat 246)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 6:15 AM