KEWAJIPAN menunaikan ibadah haji  jelas dinyatakan  Allah SWT dalam al-Quran.
KEWAJIPAN menunaikan ibadah haji jelas dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Sekarang ini, semua umat Islam yang telah dipilih dan direzekikan oleh Allah SWT bagi menunaikan ibadah haji telah mula berkumpul di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Tidak kira dari negara mana atau bangsa apa sekalipun, semua mereka bertolak meninggalkan tanah air masing-masing dengan tujuan yang satu iaitu menunaikan ibadah haji iaitu Rukun Islam yang kelima atau yang terakhir difardukan untuk dilakukan sekali sahaja dalam seumur hidup seseorang Muslim.

Kewajipan menunaikan ibadah haji ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi baitullah (kaabah)" - (Surah Ali 'Imran ayat 97). Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah." (Surah al-Baqarah ayat 196)

Selain dalil al-Quran, kewajipan mengerjakan ibadah haji juga telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis Baginda yang bermaksud: "Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang selayaknya mesti disembah selain Allah SWT dan mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadan." (Riwayat Muslim)

Jika dibandingkan dengan kefarduan yang lain, ibadah haji adalah suatu kefarduan yang sangat unik terutamanya bagi menyempurnakan keIslaman seseorang manusia. Ucapan syahadah, solat lima waktu, puasa dan zakat boleh dilakukan di mana-mana sahaja di bumi Allah SWT ini, tetapi ibadah haji mesti dilakukan di suatu tempat dan masa yang tertentu sahaja iaitu pada bulan Zulhijah di Makkah. Secara umumnya, ibadah haji berperanan menyempurnakan semua ibadah lain yang telah ditunaikan sebelumnya.

Berdasarkan perintah mengerjakan ibadah haji dalam al-Quran dan al-Sunnah itu, ibadah haji dikerjakan hanya di sekitar Tanah Suci Makkah, manakala masanya hanya dari 9 Zulhijah hingga 13 Zulhijah sahaja. Maknanya, seseorang Muslim itu tidak boleh sama sekali mengerjakan ibadah haji sebagai Rukun Islam yang kelima itu secara sesuka hati di tempat dan masa yang lain sebagaimana yang telah disyariatkan.

Disebabkan ibadah haji itu mempunyai tempat dan masa tertentu, maka jelas didapati selain ia merupakan salah satu daripada bentuk ibadah fardu kepada Allah SWT, ia juga merupakan suatu perhimpunan besar bagi umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia dengan niat yang satu, iaitu melaksanakan perintah Allah SWT sambil berkenalan (ta'aruf) antara satu sama lain serta memahami cara hidup dan budaya masing-masing. Setiap jemaah pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan dugaan tatkala berada dalam perhimpunan besar sebegini.

Perhimpunan yang diatur oleh Allah SWT ini adalah semata-semata untuk menghubungkan ikatan dan semangat persaudaraan Islam. Hal ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara" - (Surah al-Hujurat ayat 10). Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Surah Ali 'Imran ayat 103)

Perkara ini juga ada dinyatakan dalam Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seseorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, tidak boleh menganiayainya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustakannya dan tidak boleh menghinanya." (Riwayat Muslim) 

Bagi mencapai matlamat besar dan agung ini, maka sudah pasti dalam perhimpunan yang besar itu tidak boleh timbul lagi segala perbezaan yang wujud antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain, baik dari segi warna kulit, bahasa, bangsa, kedudukan kaum, ketinggian ilmu, harta kekayaan, jawatan, gelaran, politik dan sebagainya.

Jadi, jika seseorang Muslim yang sebelum ini suka menyatakan dirinya lebih baik dan mulia berbanding orang lain kerana kekayaan yang dimiliki, pangkat yang dijawat, berlainan fahaman politik dan keturunan, maka di saat mengerjakan ibadah haji ini, ia terpaksa akur kepada perintah Allah SWT ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Haji itu dalam beberapa bulan yang ditentukan, sesiapa yang telah menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh bercakap kotor, melakukan kejahatan dan bertengkar-tengkar (atau bermusuh-musuhan) dalam mengerjakan ibadah haji." (Surah al-Baqarah ayat 197)

Berhubung perhimpunan yang teragung dan terbesar ini, jelas menunjukkan agama Islam itu tidak mengenal perbezaan yang wujud antara sesama Muslim ini. Tegasnya, agama Islam bukanlah agama yang memperjuangkan diskriminasi. Jika diperhatikan menerusi ibadah haji ini, segala unsur pendiskriminasian akan dihapuskan.

Ukuran kemuliaan seseorang Muslim itu hanyalah bergantung kepada tahap ketakwaannya kepada Allah SWT dan beramal soleh sahaja. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu." (Surah al-Hujurat ayat 13)

Berdasarkan ayat ini, tujuan Allah SWT menjadikan manusia dengan pelbagai puak, kabilah dan bangsa di dunia ini, adalah untuk membolehkan mereka saling kenal-mengenali dan saling kasih-mengasihani antara satu sama lain.

Allah SWT menciptakan manusia dalam keadaan sebegini bukanlah untuk memberi ruang kepada sesuatu bangsa, puak dan seseorang itu bermegah-megah antara satu sama lain. Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan semua umat Islam supaya mengerjakan fardu haji dan berkumpul di suatu tempat dan masa tertentu, sekali dalam seumur hidup, demi untuk menyatakan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Bahkan penyatuan umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum amatlah penting.

Jelas di sini ibadah haji adalah salah satu cara praktis yang telah disediakan oleh Islam untuk mengintegrasikan seluruh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa, bahasa pangkat dan darjat. Apabila tibanya musim haji, semua umat Islam yang berkemampuan keluar dengan niat untuk beribadah kepada Allah SWT. Di samping itu mereka dapat menghayati semangat persaudaraan Islam, kenal-mengenali dan bantu-membantu antara satu sama lain. Setelah selesai mengerjakan ibadah haji dengan sempurna nanti, tentulah para  hujjaj  (jemaah haji) akan pulang sebagai seorang Mukmin yang bertakwa. Di samping itu, mereka juga dapat merasakan betapa pentingnya penyatuan ummah. Segala kelebihan atau kemewahan yang dibangga-banggakan dalam kehidupan selama ini adalah daripada kurniaan Allah SWT semata-semata. Semuanya sekadar barang pinjaman daripada Allah SWT.  

Oleh itu, tidak harus wujud perasaan bangga dan sombong yang sering mencetuskan persengketaan atau perbalahan antara sesama manusia hanya kerana sesuatu perkara yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Dalam hal ini jelas menunjukkan dalam agama Islam segala cita-cita yang prinsipal seharusnya dilaksanakan dengan praktik. Amalan sebegini belum pernah berlaku dalam agama-agama lain di dunia ini.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:00 AM