LAYANAN dan penerimaan khalayak   berubah hanya melihat jenama kenderaan. FOTO Arkib NSTP
LAYANAN dan penerimaan khalayak berubah hanya melihat jenama kenderaan. FOTO Arkib NSTP
Syah Rul Aswari Abdullah

"Susah nak lihat teksi sekarang... tidak ramai mahu naik teksi," kata pemandu teksi yang saya naiki untuk pulang ke rumah pada minggu pertama Ramadan, baru-baru ini.

Benar juga katanya, ketika awal bekerja dan masih tidak mempunyai kenderaan sendiri, tidak sukar bagi kami wartawan baharu untuk ke tempat tugasan. Ia memandangkan ada puluhan ribu teksi di jalan setiap hari.

Ketika itu, saya hanya perlu tunggu di perhentian bas atau teksi. Tak sampai lima minit sudah ada teksi berhenti.

Justeru, menurut pak cik ini yang saya kira sudah berusia lebih 50-an, sukar untuk dia mencari pelanggan dengan kaedah lama, sebaliknya kini bergantung harap kepada syarikat e-hailing.

Mujurlah katanya, dia dapat memahirkan diri untuk menggunakan aplikasi telefon bimbit untuk mengesahkan permintaan pelanggan dan menggunakan GPS untuk menghantar pelanggan.

"Susah tak mula-mula pak cik?" tanya saya.

"Tidak susah...saya minta anak tolong tunjuk. Lama-lama biasa la," katanya yang sudah berpuluh tahun mencari rezeki dengan memandu teksi.

Namun, apa yang tidak sedapnya, pak cik ini sempat berkongsi kisah mengenai ada segelintir pelanggan yang tidak mahu menaiki kenderaannya apabila menyedari perkhidmatan Grab yang dipesan, tetapi yang datang adalah teksi.

Menurut pak cik ini, ada beberapa kejadian yang mana pelanggan tidak mahu menaiki kenderaannya apabila dia datang untuk menjemput mereka.

Lucu juga apabila pak cik ini memberitahu dia pernah dimarahi dengan teruk oleh seorang lelaki Bangladesh kerana perkara itu.

"Ada satu kali lelaki Bangladesh tak mahu naik. Dia suruh saya cancel (batalkan tempahan). Dia kata, malu kalau kawan-kawan tengok dia naik teksi.

"Dia bising-bising. Dia kata dia order Grab, bukannya teksi," katanya.

Pak cik ini berkata, dia bertegas tidak mahu mengikut permintaan lelaki Bangladesh itu yang mahu membatalkan pesanan.

Sebaliknya, dia menyuruh lelaki asing itu membatalkan tempahan.

"Tetapi sebab dia tidak mahu rugi RM3, dia naik saja," katanya.

Pak cik ini turut berkongsi insiden yang mana ada wanita sudah berusia 'mati-mati' tidak mahu menaiki kenderaannya selepas menyedari bahawa perkhidmatan e-hailing ditempah, tetapi yang datang adalah teksi.

"Ada juga auntie tak mahu naik teksi. Tapi saya cakap...bukan saya yang suka hati datang, syarikat yang hantar saya," katanya.

Tambahnya, ada juga segelintir individu pula awal-awal membatalkan tempahan apabila mengetahui bahawa tempahan e-hailing mereka adalah teksi.

"Dia orang kata low class kalau naik teksi," katanya.

Perkongsian ini menyedarkan saya betapa masyarakat kita masih gemar menghakimi individu hanya berdasarkan jenis kenderaan dimiliki seseorang.

Ini bukan perkara baharu. Bagi kebanyakan orang kita, mereka gemar menyamakan kereta dengan status dan gaya hidup. Pendek kata - bagi golongan ini - mahu tengok orang itu kaya atau tidak, lihat pada kenderaan 'dipakai' seseorang.

Jika mahu dianggap atas, kereta juga mesti daripada jenis tertentu. Paling saya ingat seorang rakan dalam nada separa bergurau pernah berkata, "aku alergik dengan kereta tempatan".

Hal sama juga saya perhatikan di tempat kerja. Lazimnya, pada tahun-tahun pertama bekerja, mereka akan menggunakan kereta jenama tempatan sebagai kereta pertama.

Namun tahun demi tahun, semua seakan berlumba-lumba untuk menukar kereta.

Ada juga generasi muda yang berpendapat, Perodua Myvi yang masih digunakan saya atau sejenis dengannya mungkin hanya untuk kegunaan penuntut universiti pada masa kini.

Jadi - bagi mereka - jenama tempatan memang tidak ada dalam senarai wish list apabila mahu membeli kereta pertama.

Setuju atau tidak juga jika saya katakan, layanan dan penerimaan khalayak juga boleh berubah hanya melihat jenama kenderaan.

Seorang bekas jurugambar pernah berkata, dia mendapat layanan istimewa apabila memandu kenderaannya di lobi hotel. Walhal, pengawal keselamatan tidak tahu pun dia bukannya VIP.

Hal ini juga akan dilihat pada Aidilfitri nanti. Lihat sahaja tetamu datang berkereta mewah, mulalah pak cik dan mak cik sibuk bertanyakan mengenai pekerjaan individu berkenaan.

Secara peribadi - perkara ini sebenarnya berbalik kepada pilihan dan cita rasa peribadi. Setiap orang memiliki keperluan dan kehendak yang berbeza dalam kehidupan. Ini termasuklah aspek memiliki kenderaan sendiri.

Ada orang melihat kenderaan hanya sebagai alat pengangkutan dari titik A ke B. Ada yang melihatnya sebagai satu pencapaian. Ada juga yang sering bertukar kenderaan kerana minat atau hobi.

Namun, apa-apa pun, 'nilai' seseorang itu tidak boleh dianggap lebih rendah hanya kerana memandu kenderaan tertentu atau tidak mahu memiliki kenderaan sendiri.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:01 AM