FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Menuntut ilmu adalah tanggungjawab atau kewajipan setiap manusia di dunia ini. Tiada seorang pun yang terlepas daripada kewajipan ini. Bahkan, semua orang akur dengan ketetapan bahawa setiap perkara sama ada perkara berkaitan keduniaan apatah lagi perkara yang menjurus kepada akhirat mesti dengan ilmu.

Dalam konteks Islam, Allah SWT sangat menganjurkan supaya setiap manusia bergerak keluar daripada kampung halaman mereka demi menuntut ilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." (Surah al-Taubah, ayat 122)

Berdasarkan ayat di atas, jelas kepada kita bahawa salah satu tuntutan untuk mendapatkan ilmu ialah dengan keluar meninggalkan tempat tinggal dan berusaha menuntut ilmu.

Daripada perspektif Islam juga Allah SWT mengurniakan kemuliaan kepada orang yang berilmu serta membezakan antara orang berilmu dengan orang tidak berilmu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas'ud RA bahawa Allah SWT memuji ulama dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.

Sekarang adalah musim konvokesyen atau graduasi di kebanyakan institusi pendidikan tinggi dalam negara kita.

Sebagai graduan universiti, mereka akan memikul tanggungjawab penting dalam masyarakat dan dunia profesional. Sekurang-kurangnya ada 10 tanggungjawab yang mesti mereka sedar apabila bergelar graduan.

Pertama, mesti membuktikan kepakaran dan kemahiran masing-masing dalam bidang yang dipelajari ketika di universiti. Graduan mesti menunjukkan kecekapan mereka apabila berhadapan industri atau pihak yang menerima mereka di alam kerjaya. Sepatutnya mereka mampu mengaplikasi ilmu pengetahuan yang mereka miliki.

Kedua, graduan mesti beretika dan bertanggungjawab serta mempraktikkan nilai moral yang tinggi dalam setiap tindakan. Apabila memulakan kerjaya juga hendaklah bertanggungjawab terhadap tugas diamanahkan.

Ketiga, mereka mesti berusaha mencapai keunggulan atau prestasi tertinggi dalam kerja yang mereka ceburi. Begitu juga dengan semangat dan usaha untuk terus belajar bagi menambahkan ilmu pengetahuan yang dapat meningkatkan kemampuan diri.

Keempat, graduan juga seharusnya mahir berkomunikasi secara profesional. Kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi sangat penting. Mereka mesti biasakan diri dengan komunikasi yang berkesan secara profesional.

Kelima, semangat kerja berpasukan juga sangat penting. Graduan mesti bijak mencari peluang kolaborasi yang mengembangkan syarikat atau jabatan mereka. Mereka juga perlu membuktikan kemahiran kepimpinan dan keupayaan berkolaborasi dengan baik.

Keenam, sumbangan kepada komuniti juga seharusnya menjadi keutamaan. Graduan mesti menyalurkan ilmu yang dimiliki kepada komuniti supaya dapat dimanfaatkan. Sekiranya perlu, boleh terbabit dengan aktiviti sukarela di luar sana. Mereka sepatutnya terbabit dalam program pembangunan masyarakat.

Ketujuh, graduan perlu sedar pembelajaran adalah sepanjang hayat. Mereka mesti sentiasa mempelajari teknologi terkini serta perkembangan yang berlaku dalam bidang masing-masing. Sepatutnya mereka menyertai kursus atau program latihan lanjutan yang sesuai.

Kelapan, sudah pasti dalam era globalisasi ini perlukan mahasiswa yang global. Mereka mesti memahami isu global dan mampu beradaptasi dengan isu lokal dan global serta menunjukkan kepekaan kepada pelbagai budaya.

Kesembilan, graduan yang berkualiti ialah yang mempunyai jaringan profesional yang luas. Mereka hendaklah membangunkan rangkaian profesional untuk peluang kerjaya dan keterlibatan dalam industri.

Kesepuluh, antara yang paling penting mereka mesti terbabit secara langsung dalam agenda pembangunan negara. Mereka sepatutnya terbabit dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara secara langsung. Tanggungjawab ini membentuk asas untuk membina karier yang berjaya dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 7:01 AM