Anthony Loke Siew Fook. FOTO Arkib NSTP
Anthony Loke Siew Fook. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kemenangan Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu membuktikan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Pang berjaya mempertahan kerusi milik DAP itu dengan majoriti yang meyakinkan dan selesa.

Beliau berkata kemenangan itu turut membuktikan kerjasama antara parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan amat kukuh dan menyerlah sepanjang tempoh berkempen.

"Kemenangan ini amat meyakinkan kerana kita dapat mengekalkan sokongan (pengundi) di situ serta terdapat pertambahan sokongan pelbagai kaum dan masyarakat.

"Ini satu kemenangan manis buat Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini malam ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pang menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Dalam pada itu, Loke mahu Pang terus memulakan khidmat dan bekerja sepenuh hati bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat selain terus merendah diri.

"Beliau ada banyak agenda yang perlu dilaksanakan dan memang (dalam) kempen pilihan raya kita kali ini, beliau bukan sahaja wakil rakyat yang menjadi penghubung antara kerajaan negeri dengan rakyat, banyak lagi inisiatif dan dasar kerajaan mesti disalurkan kepada penduduk tempatan.

"Antara agenda besar ialah membangunkan ekonomi tempatan khususnya ekopelancongan Kuala Kubu Baharu yang perlu dibawa oleh beliau sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan itu," katanya.

Loke berkata walaupun ramai pemerhati politik meramalkan calon Kerajaan Perpaduan itu akan menang dengan majoriti tidak sampai 1,000 undi namun keputusan malam ini melepasi jangkaan banyak pihak.

"Ini membuktikan bahawa kita memang sangat-sangat berusaha untuk memberikan penerangan kepada beberapa segmen pengundi dan sepanjang kempen ini, kita seperti biasa buat ceramah secara bersasar dan ini membuahkan hasil," katanya.

Ditanya mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah, beliau berkata perkara itu sudah dijangka kerana ia aadalah pilihan raya kecil.

Bagaimanapun, Loke berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi iaitu kira-kira 61 peratus walaupun pada Pilihan Raya Negeri sebelum ini kawasan itu merekodkan 69 peratus.

"Kali ini turun beberapa peratus tapi ia melebihi 60 peratus walaupun kita mengharapkan peratusan mengundi yang tinggi tetapi apakan daya, ia hak masing-masing… tetapi ia bukannya di luar jangkaan kita sebab umum mengetahui bahawa ramai tidak balik mengundi masa PRK ini," katanya.

SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 61.51 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 11:41 PM