SESUNGGUHNYA tidak ada sesiapa yang dapat menandingi keluasan rahmat Allah SWT.
SESUNGGUHNYA tidak ada sesiapa yang dapat menandingi keluasan rahmat Allah SWT.
Mohd Shahrizal Nasir

SERING kali kedengaran dalam doa, ungkapan: "Ya Arhamar Rahimin" yang bermaksud - "Wahai Tuhan yang Maha Penyayang daripada yang penyayang". Ungkapan tersebut merujuk kepada Allah SWT yang memiliki sifat penyayang terhadap hamba-Nya. Tidak ada makhluk yang dapat menandingi sifat penyayang Allah SWT kerana hanya Dialah yang memiliki sifat paling sempurna.

Allah SWT menunjukkan kasih sayangnya kepada seluruh makhluk-Nya menerusi limpahan rahmat yang tidak terhitung banyaknya. Tidak kira sama ada seseorang hamba itu beriman kepada-Nya ataupun tidak, kesemuanya akan menikmati keluasan rahmat-Nya. Cumanya bagi orang Islam, rahmat Allah SWT meliputi kehidupan di dunia dan akhirat. Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya: "Tidak sama orang yang beriman dengan yang tidak beriman." Inilah yang sepatutnya disedari oleh umat Islam agar mereka sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan-Nya.

Para malaikut turut mengakui keluasan rahmat Allah SWT sepertimana yang dimaktubkan dalam al-Quran: "Malaikat yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka." (Surah Ghafir, ayat 7)

Keluasan rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya antara lain dapat dilihat dari sudut peluang yang diberikan-Nya untuk meraih ganjaran pahala. Setiap orang berpeluang meraih pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang keluasan rahmat-Nya dan inilah yang membuktikan keagungan dan kekuasaan-Nya.

Allah SWT membuka ruang kepada setiap Muslim untuk melakukan kebaikan dan kebaikan tersebut boleh ditunaikan oleh setiap anggota tubuh badan. Pendek kata, setiap anggota badan berpeluang untuk menjadi sumber penerimaan pahala daripada Allah SWT. Justeru setiap Muslim mesti memanfaatkan setiap anggotanya untuk melakukan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; kamu berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, kamu membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang kamu untuk pergi menunaikan sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di tengah jalan adalah sedekah." (Muttafaq 'alaih)

Lima perbuatan baik yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW telah cukup untuk membuktikan bahawa setiap anggota badan berfungsi untuk meraih ganjaran kebaikan daripada Allah SWT. Jelaslah bahawa pahala sedekah bukan sahaja boleh diperoleh dengan mengeluarkan harta ke jalan Allah SWT sahaja, tetapi ia diperoleh dengan pelbagai cara. Hal ini membuka ruang kepada semua orang termasuk orang yang fakir dan miskin untuk mendapat ganjaran pahala.

Selain itu, ada juga keadaan yang mungkin dilihat satu kerugian dan tidak membawa maknfaat kepada diri seseorang insan, namun ia bertukar menjadi rahmat Allah SWT sekiranya Muslim yang terlibat menerima ketentuan-Nya dengan penuh sabar dan reda. Contohnya apabila sesuatu hasil tanaman yang diusahakan oleh seorang Muslim habis dimakan haiwan atau dicuri oleh orang lain, keadaan tersebut boleh menjadi sebab diri mendapat pahala.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dicuri daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh haiwan liar dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh burung dikira sebagai sedekah. Tidaklah seseorang bercucuk tanam kecuali dia akan mendapat (pahala) sedekah daripadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menandingi keluasan rahmat Allah SWT. Kesemua ini perlu disedari oleh umat Islam agar terus berusaha meraih rahmat Allah SWT dan tidak sesekali menyempitkan pintu rahmat-Nya. Apatah lagi dalam bab mengurniakan keampunan-Nya kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-Nya. Ini juga dapat difahami sebagai antara perkara yang memperlihatkan keluasan rahmat Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai para hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang maha pengampun, lagi maha mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53)

Dalam bab memohon keampunan daripada Allah SWT, ia satu perkara yang perlu diinsafi kerana tidak ada pihak lebih pemurah daripada-Nya dalam mengurniakan keampunan. Sesiapa sahaja dalam kalangan hamba ingin kembali kepada-Nya, pasti diterima dan dikurniakan keampunan yang sangat luas.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah berfirman yang maksudnya: "Wahai anak Adam! Selagi mana kamu meminta, berdoa dan mengharapkan Aku (Allah), Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak hingga mencecah awan langit kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya kamu, andainya kamu datang mengadap-Ku dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian kamu datang menghadap-Ku tanpa kamu mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sebagai seorang hamba yang mendambakan rahmat kurniaan Allah SWT, marilah kita berusaha meraih rahmat-Nya dengan melakukan pelbagai kebaikan. Sesungguhnya amal kebaikan yang dilakukan hanya kerana-Nya akan membuka pintu rahmat Allah SWT dalam kehidupan. Selain memperbayakkan amal soleh, umat Islam juga disaran untuk sentiasa memperbaiki amalan masing-masing kerana rahmat Allah SWT amat dekat dengan orang yang memperbaiki amalan mereka.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya." (Surah al-A'raf, ayat 56)

Yakinlah bahawa rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW: "Tatkala Allah mencipta makhluk-Nya, Dia (Allah) menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas 'Arasy: "Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mendahului kemurkaan-Ku." (Muttafaq 'alaih)

Penulis Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 5:59 AM