Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Faizal Azumu bersama calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional susulan keputusan Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Faizal Azumu bersama calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional susulan keputusan Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Mahani Ishak


Batang Kali: Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu tidak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) berikutan golongan pengundi luar tidak balik mengundi.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata faktor itu menyebabkan calon PN, Khairul Azhari Saut menerima peratusan undi rendah.

"Saya fikir PRK kali ini, sekumpulan pengundi, terutama golongan yang bekerja di luar tidak mengambil kesempatan untuk pulang mengundi.

"Dari situ kita lihat ada peratusan rendah.

"Kalau dari segi dakwaan ada boikot, saya lihat lebih kepada pengundi pihak sebelah sana, yang mana sokongan daripada pengundi tegar mereka telah menurun daripada analisis awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Batang Kali di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Keputusan PRN malam ini menyaksikan Khairul Azhari meraih 10,131 undi selepas dikalahkan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang memperoleh majoriti 3,869 undi.

Dua lagi calon, Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin masing-masing daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas memperoleh 152 dan 188 undi.

Keputusan itu sekali gus memusnahkan impian PN merampas kerusi tradisi yang dimiliki DAP selepas Lee Kee Hiong yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sejak 2013 meninggal dunia pada Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Ditanya mengenai hasrat PN memfailkan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi PRK Kuala Kubu Bharu dengan mendakwa pihaknya mempunyai bukti besar kesalahan pilihan raya yang dilakukan pihak lawan, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU, berkata perkara itu perlu diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

"Kita akan meneliti setiap perkara yang boleh kita lakukan dan tentunya tindakan tindakan lanjut akan kita ambil, insya-Allah," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa PH melakukan salah guna kuasa dan menyalahgunakan jentera kerajaan sebelum dan semasa kempen PRK.

Dalam pada itu, beliau berkata, PN menerima keputusan PRK DUN Kuala Kubu Bharu dengan hati terbuka.

"Daripada analisis awal yang dilakukan, kita mendapati sokongan kepada PN begitu baik dan memberangsangkan.

"Kita dapat lihat di sesetengah pusat daerah mengundi (PDM) pertambahan memberangsangkan.

"Namun kita juga melihat dari segi peratusan keluar mengundi rendah PRK kali ini iaitu 61 peratus," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PN akan terus berusaha pada masa akan datang untuk memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

"Insya-Allah dengan itu boleh memastikan kejayaan pihak kami. Selain itu, kita juga melihat sokongan daripada orang ramai sepanjang waktu berkempen.

"Kita turun berjumpa dengan pengundi. Alhamdulillah suasana begitu meriah.

"Sambutan diberikan kepada jentera PN terutama kepada calon begitu baik dan beliau sudah berusaha gigih.

"Jadi, PN menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan berazam akan meningkatkan usaha meneruskan perkara baik yang sudah dilakukan," katanya sambil menyatakan dengan usaha itu PN akan kembali di Kuala Kubu Bharu pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 11:58 PM