RECEP TAYYIP ERDOGAN
RECEP TAYYIP ERDOGAN
Suzalina Halid dan Fahmy A Rosli


TURKI tidak mengiktiraf Pelan Damai Asia Barat sekali gus tidak akan membiarkan impian Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk mengancam ketenteraman Palestin melalui ‘deal of the century’ itu tercapai.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya tidak akan menerima inisiatif yang kelihatan seolah-olah bentuk penyelesaian antara dua negara namun hakikatnya ia adalah usaha untuk mengesahkan penjajahan Israel di bawah perlindungan AS.

“Pelan itu menjadi tajuk utama dalam agenda dunia yang kononnya dipanggil sebagai ‘deal of the century’ dan mengisytiharkan Al-Quds sebagai ibu kota Israel hanyalah impian yang mengancam keamanan dan ketenteraman di rantau ini. Kita tidak akan membiarkan impian ini tercapai.

“Malah kita tidak mengiktiraf pelan ini yang menakluk, memusnahkan sepenuhnya wilayah Palestin dan memeras Al-Quds. Kita tidak menerima inisiatif ini, ” katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Perwakilan Turki, Hasan Turan pada Persidangan Liga Parlimen Al-Quds kali ketiga di sini.

Pada masa sama Erdogan berkata, adalah mustahil bagi Turki untuk terus berdiam diri terhadap penaklukan Al-Quds dan meninggalkan ‘saudara’ mereka di Palestin bersendirian dalam perjuangan ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi penekanan sekali lagi bahawa penaklukan Al-Quds adalah batas kesabaran mereka.

“Israel dengan secara tidak adil dan tidak sah meluaskan sempadannya di saat Palestin mengalami kemusnahan dan penderitaan selama bertahun-tahun.

“Sebagai negara Islam, menjadi tanggungjawab penting kita sepanjang proses ini untuk melindungi Masjid al-Aqsa, Al-Quds sebagai satu tugu keamanan dan mempertahankan hak orang Palestin, ” katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi situasi ini di mana prosesnya yang akan memberi kesan kepada seluruh dunia terutama Asia Barat, ia bagaimanapun memberikan gambaran yang menyedihkan terhadap beberapa dasar diambil negara Islam berhubung pelan berkenaan.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila sesetengah negara Islam mengamalkan sikap menyokong terhadap pelan itu berbanding dengan ketidakadilan dan kekejaman dibuat Israel.

“Tidak seharusnya dilupakan bahawa Al-Quds bukan sahaja membabitkan orang Islam di Palestin namun ia adalah berkisar mengenai sebuah maruah dan kepentingan bersama dunia Islam.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa Israel dan sekutunya sekali lagi akan meneruskan pelaksanaan pelan pengkhianatan ini selagi dunia Islam tidak meninggalkan perpecahan dan pertelingkahan. Orang Islam harus bersatu dan bertarung untuk menyelesaikan masalah di Palestin dan menamatkan ketidakadilan di seluruh dunia.

“Kita akan meneruskan bantahan terhadap penindasan Al-Quds dan Palestin dan terus menyokong keamanan, keadilan dan kebebasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 4:12 PM