Walaupun sudah empat bulan pemergian biduanita tersohor negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah, pasti segala kenangan bersamanya masih berbekas di hati ahli keluarga, teman rapat, rakan artis, mahupun peminat tegar penyanyi itu.

Masih sukar rasanya untuk mempercayai dia sudah tiada lagi di dunia ini.

Demikian juga dirasai penyanyi Alyah yang sememangnya meminati arwah dari dulu, bahkan Kak Pah antara insan yang memberi inspirasinya kepadanya dalam dunia nyanyian.

Khabarnya, kerinduan Alyah terhadap Kak Pah sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Semuanya berlaku Jumaat lalu apabila Alyah tiba-tiba rasa mahu menyanyikan lagu Hapuslah Air Matamu di malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM 26) yang akan berlangsung keesokannya.

Pada malam itu jugakah dia bermimpi didatangi Kak Pah yang tersenyum sebelum mengusap kepalanya.

Sebaik terjaga dari tidur, Alyah terus membaca Yasin disedekahkan kepada Allahyarham.

Mungkin petanda buatnya juga yang memang dari dulu sudah menyimpan hasrat mahu menyanyikan mana-mana lagu nyanyian asal Kak Pah. Dengarnya juga, dia bakal memberi nafas kepada satu daripada lagu arwah juga kelak suatu hari nanti.

Lagu manalah agaknya yang akan Alyah beri nafas semula? SS memang ternantikan juga apalagi lagu arwah sendiri mempunyai penangan tersendiri dan Alyah pun bukan calang-calang penyanyi.

SS: Sentiasa kagum dengan sifat keibuan yang tebal pada arwah Datuk Sharifah Aini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:00 AM