ZIANA Zain. FOTO Rohanis Shukri
ZIANA Zain. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Penyanyi terkenal, Ziana Zain menganggap dirinya belum layak untuk mendapat gelaran Biduanita Negara yang juga pengiktirafan tertinggi kepada golongan anak seni itu.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 56, berkata, gelaran Biduanita Negara itu sangat besar maknanya dan wajar diberikan kepada artis senior yang serba boleh serta lebih layak daripadanya.

"Saya belum layak untuk dapat gelaran itu kerana baru 33 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan perjuangan seni pun belum sampai setengah abad lagi.

"Ramai lagi artis senior yang lebih layak dan sudah bekerja keras di layar perak untuk mendapat gelaran itu cuma orang tidak nampak sebab mereka tidak ada pendedahan seperti zaman sekarang," katanya.

Ziana berkata, dia berharap gelaran itu wajar diberikan kepada artis senior yang sudah sekian lama bekerja keras di layar perak.

"Kenapa kita tidak beri gelaran itu kepada artis senior yang sudah lama berjuang dalam industri seni? Saya juga takut nanti kita tidak berlaku adil kepada mereka.

"Contohnya, artis Hollywood, Madonna, dia pulangkan semula anugerah yang dia dapat sebelum ini kerana anggap belum layak sedangkan kita nampak dia sudah layak untuk dapat anugerah berkenaan," katanya.

Pada masa sama, kata Ziana lagi, ramai orang yang tidak nampak jika tiada artis lama, tiadalah artis yang baru.

"Artis lama juga menjadi rujukan kepada artis baru untuk beri semangat dan inspirasi serta menjadi artis yang lebih baik.

"Contohnya, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang mendapat gelaran Biduanita Negara kerana pembabitannya yang sudah berpuluh tahun sejak era 70-an," katanya.

Kata Ziana, dia berharap pihak yang betul-betul arif membuat penilaian untuk beri gelaran Biduanita Negara kepada artis yang benar-benar layak.

"Artis juga tidak boleh calonkan diri sendiri dan peminat juga tidak boleh berbuat demikian kerana peminat ni dia sayang kita dan kalau boleh dia nak artis dia dapat gelaran itu.

"Pada pandangan saya, peminat sekarang tak faham maksud sebenar gelaran Biduanita Negara berkenaan," katanya.

Terdahulu, kejayaan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu, menarik perhatian ramai pihak yang menyarankan agar penyanyi itu wajar diberikan gelaran Biduanita Negara.

Saranan itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memaklumkan fasa awal cadangan penganugerahan gelaran itu kepada Siti masih dalam proses perbincangan dalaman.

Gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dua penyanyi iaitu Allahyarham Puan Seri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 4:58 PM