SHUIB dan Watie. FOTO Hazreen Mohamad
SHUIB dan Watie. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib tidak membenarkan isterinya, Watie Hanifiah, 35, terbabit dalam bidang seni kerana mahu dia fokus kepada rumah tangga yang baru dibina itu.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 39, dia juga hanya memberi kebenaran untuk Watie terbabit dalam program TV bercorak kekeluargaan yang menampilkan mereka berdua atau bersama anak-anak.

Katanya, dia juga terima tawaran buat program realiti sebanyak empat episod, Dapur Tempur Selebriti untuk stesen TV9 itu kerana dapat berganding dengan isterinya itu.

"Saya terima tawaran buat program ini kerana ia program masakan yang julung kali tampilkan kami berdua. Watie juga boleh tahan pandai memasak.

"Saya memang suka dengan program masakan seperti ini kerana ketika bersama arwah isteri, Siti Sarah dulu pun kami selalu terbabit dalam program bercorak kekeluargaan seperti ini," katanya ketika ditemui pada rakaman program Dapur Tempur Selebriti di sebuah hotel, di sini.

Mengulas mengenai program itu, kata Shuib, isterinya sangat teruja untuk menjayakan program masakan berkenaan.

"Dua tiga hari sebelum rakaman, Watie juga beritahu dia berasa gementar kerana tema program ini adalah masakan barat yang dia jarang masak di rumah.

"Maklumlah, saya suka masakan kampung dan tradisional sebab itu dia jarang masak masakan barat di rumah," katanya.

Ditanya sama ada Watie sudah dapat menyesuaikan diri dengan dunia selebriti, kata Shuib, isterinya itu juga sanggup melayan bila ada peminat yang mahu bergambar dengannya.

"Bila kami keluar, ada peminat yang mahu mengambil gambar kami berdua atau dengan saya seorang saja. Tapi saya kagum kerana Watie sangat menghargai peminat yang mahu mengambil gambar dengannya. Watie juga boleh tunggu jika ada 50 peminat pun yang mahu bergambar dengannya sehingga acara selesai,"katanya.

Sementara itu, Watie yang juga usahawan berkata, memang ada tawaran dalam bidang lakonan tetapi dia tidak berminat untuk menceburi dunia seni.

"Selain Shuib tidak benarkan, saya juga tidak selesa berada depan kamera apatah lagi berlakon kecuali Shuib ada menemani di sebelah.

"Saya lebih minat buat perkongsian di media sosial berbanding depan kamera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 12:31 PM