Syafil Syazwan Jefri


Melakonkan empat watak berbeza dalam pementasan teater monodrama, Kopi Pangku adalah cabaran baharu buat pelakon berkaliber, Nasha Aziz.

Nasha yang sudah lebih 30 tahun terbabit dalam bidang lakonan berkata, ia menjadi pengalaman baharu buatnya sebagai pelakon.

"Ini pertama kali saya membuat persembahan secara solo, namun ada banyak watak. Hari ini anda cuma melihat satu watak dan kalau nak tengok selebihnya, hadir pementasan nanti.

"Saya begitu teruja dan ini adalah satu proses menimba pengalaman baharu yang mana saya memainkan empat watak dalam satu naskhah," katanya.

Ditanya mengenai proses mencabar buatnya, Nasha berkata, dia perlu menggali emosi keempat-empat watak itu dengan mendalam.

PENGALAMAN baharu Nasha lakon empat watak sekali gus.
PENGALAMAN baharu Nasha lakon empat watak sekali gus.

"Ia satu proses mencabar di mana saya perlu mencari emosi dengan sangat mendalam, mencipta dan meletakkan diri saya dalam posisi watak itu.

"Cabaran kali ini di luar kotak. Ia bukan hanya empat watak, tetapi empat perasaan. Setiap perasaan itu ada tragedi berbeza dalam kehidupan, di waktu berbeza, di usia berbeza dan ada sejarah berbeza.

"Semuanya ada perbezaan ketara dalam pelbagai aspek dan saya perlu mencantum semuanya menjadi satu," katanya.

Teater Kopi Pangku dipentaskan bersama teater Gaun Baju Melayu lakonan Ewan Fauzi dan diarahkan Dr Rosminah Tahir.

Kedua-dua teater monodrama ini dipentaskan tiga hari berturut-turut pada 18 Ogos ini pada jam 8.30 malam, manakala pada 19 dan 20 Ogos pula dipentaskan di dua sesi iaitu 3 petang dan 8.30 malam di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:30 AM