Georgie Joseph

(Yang menemu bual pelakon dan penyanyi Korea Selatan-Amerika Syarikat, Tiffany Young, baru-baru ini.)

Terbabit dalam produksi mega menjadi impian besar mana-mana pelakon.

Apatah lagi mendapat karya dengan konsep dan jalan cerita yang hebat. Pastinya akan mencetus keterujaan serta menaikkan semangat untuk menjayakannya.

Ini yang dirasakan anggota kumpulan dari Korea Selatan, Girls' Generation iaitu Tiffany Young, 35, apabila mendapat tawaran keemasan membintangi drama Disney+ Hotstar berjudul Uncle Samsik. Tiffany atau nama sebenarnya Stephanie Young Hwang, 35, akui seronok bukan kepalang.

Tiffany yang dilahir dan dibesarkan di San Francisco, Amerika Syarikat itu berkata, peluang itu paling bermakna besar buatnya.

Baginya, Uncle Samsik sangat sempurna untuk menjadi batu loncatan bagi mengukuhkan namanya dalam bidang lakon layar pula.

Justeru, dia tidak berfikir dua kali menerima tawaran menggalas watak sebagai Rachel Jeong. Setiap saat berada di set penggambaran adalah rahmat terindah buatnya kerana projek itu membuka luas banyak perspektif dalam dirinya.

"Tiada pujukan diperlukan kerana ini adalah projek hebat. Barisan pelakon semua tersohor, pasukannya menakjubkan dan setiap unit sungguh hebat. Semuanya memang di luar jangkaan saya.

"Saya rasa bertuah setiap hari sehingga sekarang. Dapat menjadi sebahagian daripada produksi besar dan hebat itu serta individu terbabit pun bukan calang-calang, memang seronok bukan kepalang.

"Pasangan gandingan saya iaitu Byun Yo-Han yang melakonkan watak Kim San memang saya sangat minati. Setiap projek, watak dan hasil kerja pernah dijayakannya sepanjang kariernya saya kagumi," katanya.

Menariknya mengenai drama berlatarbelakangkan era 1960-an itu, rata-rata jalan ceritanya didominasi pelakon lelaki termasuk watak sampingan. Hanya ada beberapa watak membabitkan wanita.

Tiffany berkata, perkara itu sebenarnya menjadikan watak Rachel cukup istimewa. Baginya, situasi itu tidak lari dari apa yang berlaku dalam realiti di mana wanita perlu sentiasa bijak mencari ruang dan peluang.

"Memang pun kita hidup dalam dunia yang berpaksi kepada dominasi lelaki. Kami sebagai wanita sentiasa mencari ruang untuk menyambar peluang.

"Tapi, saya sangat mahu fokuskan kepada penekanan bahawa ada seorang wanita dalam bidang politik dan perniagaan. Hakikatnya, Rachel tidak cuba menyorok dan enggan terlalu lantang juga.

"Saya senang apabila kehadiran Rachel dirasai meskipun kuasanya agak senyap. Setiap hal dilakukannya, Rachel memiliki kuasa magnet tersendiri. Malah, ketika membaca skripnya saja pun, saya sudah tahu tidak mungkin watak itu pasif," katanya.

Tiffany juga cukup tersentuh apabila mendapat dorongan terbaik di set terutama pengarahnya, John dan Shin Youn-Shick. Dia sentiasa ingat kata-kata pengarah itu yang benar-benar membekas di hatinya.

"Paling buat terharu apabila pengarah sendiri cakap kehadiran saya mengubah keseluruhan atmosfera penggambaran dan bawa nafas baharu. Pujian itu sangat besar maknanya," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan menghidupkan watak Rachel, Tiffany berkata, dia tidak boleh sambil lewa terhadapnya. Untuk menyelami watak Rachel, banyak kajian perlu dilakukan merangkumi pelbagai aspek.

Pada masa sama, dia juga lega dapat bergantung harap kepada setiap unit yang terbabit dalam produksi itu. Masing-masing mencurahkan sepenuh hati dalam memastikan perjalanan keseluruhan penggambarannya pada kualiti tertinggi.

SENTIASA terbuka menerima cabaran besar dalam bidang lakonan.
SENTIASA terbuka menerima cabaran besar dalam bidang lakonan.

"Terlalu banyak kajian perlu dilakukan dari segi watak Amerika-Korea. Sejarah, budaya, iklim sosial, iklim politik, penampilan wanita pada era 1960-an dan bagaimana reaksi anak angkat Amerika-Korea apabila pulang ke Korea.

"Sebanyak itu butiran yang perlu saya kaji sendiri. Tapi, saya perlu tekan juga mengenai kepercayaan besar yang diletakkan kepada semua terbabit di set penggambaran sangat membantu.

"Sama ada rekaan set, pakaian atau sistem bunyi. Bersifat sangat terbuka di set sangat penting kerana selama ini saya banyak terbiasa beraksi atas pentas yang penggambarannya lebih singkat," katanya.

Bukan tidak pernah terbabit penggambaran besar sebelum ini, tapi pengalaman menjayakan Uncle Samsik lebih mendalam buat Tiffany. Setiap perincian yang dia saksikan adalah lebih teliti.

"Namun, kali ini masa saya di set lebih panjang dan dapat melihat sendiri secara mendalam setiap kraf semua orang. Itu juga antara hal yang beri sandaran berguna buat saya.

"Masuk saja dalam set, segala aspek sangat membantu untuk jiwa pelakon saya terus meresap. Permainan piano, tangga, lukisan, memang menakjubkan. Perinciannya terlalu kemas.

"Saya tak pernah lakukan projek sebegini. Produksi muzikal teater yang saya terbabit ketika ini pun berkisar naskhah era dulu kala dan memang dapat rasakan juga persamaannya," katanya.

Selain Tiffany, Uncle Samsik yang ditayangkan di Disney+ Hotstar bermula 15 Mei lalu itu turut dibintangi pelakon handalan antaranya Song Kang-Ho, Lee Kyoo-Hyung, Jin Ki-Joo, Seo Hyeon-Woo, Oh Seung-Hoon dan Yoo Jae-Myung.

Dalam pada itu, Tiffany semakin rancak memperkukuh karier lakonannya menerusi beberapa projek.

Katanya, dia menyasarkan untuk terbabit lebih banyak tawaran lakonan yang memberinya cabaran besar.

"Sekarang saya menjayakan produksi muzikal di Korea Selatan berjudul Chicago dan sekali lagi melakonkan watak Roxie Hart. Ini adalah tahun kedua saya menggalas tanggungjawab itu.

"Saya juga terbabit dalam perbincangan beberapa projek, tapi semestinya sentiasa terbuka terhadap apa jua cabaran. Saya harap watak Rachel itu membuka mata ramai untuk jangan segan tawar projek buat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:00 AM