INDUSTRY 2 masih mengekalkan beberapa watak utama dari musim pertama.
INDUSTRY 2 masih mengekalkan beberapa watak utama dari musim pertama.
Syafil Syazwan Jefri


DRAMA bersiri Industry kembali lagi untuk musim kedua dan sedang ditayangkan di platform HBO dan HBO GO sekali gus membawa penonton

untuk menyelami kehidupan mereka yang bekerja dalam dunia kewangan di samping pelbagai kisah penuh drama di belakang tabir.

Industry 2 yang diarahkan tiga pengarah, Mickey Down, Konrad Kay dan Jami O'Brien menggabungkan idea mereka dalam menggarap kisah watak-watak yang dipaparkan sebelum ini.

Watak Harper lakonan Myha'la Herrold dan Yasmin (Marisa Abela) masih lagi cuba meninjau dan melonjak naik dalam dunia korporat dan pada masa sama, perlu berhadapan dengan isu peribadi masing-masing.

Selain itu, kedua-dua wanita ini juga membawa kesinambungan berbeza selepas hubungan kedua-dua mereka dalam musim pertama, tidaklah berakhir dengan baik.

Musim kedua ini juga masih juga tertumpu kepada maskuliniti toksik yang dibawa oleh Eric (Ken Leung). Pada masa sama, Eric dan Harper juga tahu kriteria yang sesuai untuk ditarik masuk sekali gus akan mengalirkan berpuluh juta dollar kepada firma mereka.

Herrold ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini mengenai watak Harper berkata, musim kedua ini lebih kepada proses bagaimana Harper dan Yasmin mewujudkan hubungan persahabatan mereka.

"Apa yang boleh saya katakan mengenai watak saya dalam musim kedua ini, ia lebih matang. Mungkin sebab kita semua melalui proses kematangan dan perubahan dalam kehidupan akibat pandemik yang melanda dunia sebelum ini," katanya.

Selain itu, Herrold juga turut berkongsi mengenai cabaran yang dihadapinya ketika menjalani penggambaran siri ini.

"Cabaran terbesar buat saya adalah apabila menjalani penggambaran ketika fasa pandemik. Memang ini adalah satu pengalaman berbeza buat saya sebagai pelakon. Banyak aspek yang perlu diteliti dan berlaku beberapa perubahan untuk menyesuaikan dengan situasi.

"Dari sudut terma yang digunakan dalam drama bersiri ini, saya rasa mustahil untuk saya gunakan dalam kehidupan sebenar saya. Jadi, dalam menjayakan watak Harper ini saya banyak menyentuh dari sudut emosi," katanya.

ANTARA babak dalam drama bersiri Industry 2.
ANTARA babak dalam drama bersiri Industry 2.

Sementara itu, Abela berkata, cabaran terbesar untuk dia membawakan watak Yasmin kali ini adalah untuk mengekalkan kesinambungan perwatakan itu sendiri.

"Saya perlu pastikan ia selari dengan perwatakannya dalam musim terdahulu. Kali ini, semua watak nampak lebih berani terhadap satu sama lain. Yasmin adalah wanita yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa dan tahu apa yang dia lakukan dalam kehidupan. Sebagai wanita, dia kena jadi seorang yang sentiasa diperlukan," katanya.

Selain Harper dan Yasmin, watak baharu diperkenalkan ialah Celeste.

Katrine de Candole yang membawa watak Celeste berkata, sebagai orang baharu ia agak mencabar memandangkan mereka yang lain semuanya sudah berjaya mencari keserasian dalam lakonan.

"Namun, saya bersyukur kerana hasilnya sangat memuaskan. Saya adalah individu yang tak ada banyak ilmu mengenai perbankan dan pada awalnya, saya agak takut. Ia sangat berbeza dengan diri saya dan dunia saya dalam kehidupan nyata," katanya.

Selain Herrold, Abela dan de Candole dan Leung, Industry 2 turut dibintangi Indy Lewis, Harry Lawter, David Jonsson dan Alex Akpobame.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 6:19 AM