SITI bangga dengan kehadiran Cikgu Adnan Abu Hassan (tengah) yang banyak menaikkan namanya.
SITI bangga dengan kehadiran Cikgu Adnan Abu Hassan (tengah) yang banyak menaikkan namanya.
AWIE Rafael turut diundang membuat persembahan.
AWIE Rafael turut diundang membuat persembahan.
TUN Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah turut meluangkan masa menyaksikan persembahan Siti.
TUN Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah turut meluangkan masa menyaksikan persembahan Siti.
Syanty Octavia Amry


Dulu, penyanyi yang popular dengan lagu Jerat Percintaan ini hanya mengimpikan sebuah konsert sebelum usianya mencapai 21 tahun.

Namun apabila tiba waktunya, impiannya terlaksana lebih daripada itu apabila satu demi satu konsert besar berjaya diadakannya termasuk di Indonesia dan Royal Albert Hall, London yang sudah semestinya meninggalkan begitu banyak kenangan manis dalam hidupnya.

Beruntungnya menjadi Datuk Siti Nurhaliza apabila segala yang diimpikan terlaksana dan dipermudahkan sepanjang 20 tahun dia berada dalam industri seni tanah air.

Mengimpikan konsert unplugged, sekali lagi penyanyi yang sedang popular dengan lagu Terbaik Bagimu ini diberi peluang mengalunkan suara merdunya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), malam kelmarin.

Walaupun hanya sehari, rasa gembira dan puas jelas terpancar pada wajah Siti meskipun persiapan hanya dilakukan dalam masa dua minggu.

“Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Sudah banyak konsert yang saya jayakan dan konsert unplugged adalah salah satu konsert yang paling diimpikan.

“Semua ini berlaku dalam tempoh dua minggu saja. Jika diikutkan saya mahu konsert ini diadakan dalam tempoh yang lama sebagai hadiah 20 tahun saya berkecimpung dalam bidang seni.

“Disebabkan saya mahu ia diadakan pada April, hanya satu tarikh saja yang kosong di IB. Siti sedar ramai peminat sedih dan kecewa, malah ada yang marah-marah kerana tidak berpeluang menyaksikan konsert ini.

“Kepada mereka yang tidak berkesempatan, jangan risau dan bimbang Insya-Allah November ini Siti akan mengadakan konsert muzikal di IB selama lapan hari berturut-turut,” katanya yang berharap dapat mengadakan konsert seperti di Chow Kit Road pula.

Siti berkata dia memilih April kerana bulan itu juga dia mula membabitkan diri dalam bidang nyanyian.

Mengulas mengenai konsert muzikalnya yang akan diadakan November nanti, Siti berkata konsert itu merangkumi nyanyian, lakonan dan visual yang mengisahkan kehidupan Siti sepanjang bergelar anak seni.

“Konsert itu dijangka berlangsung pada 14 hingga 22 November. Pelakon yang terbabit dan pengarah muzikalnya masih dalam proses perbincangan,” katanya.

Hadir sama menyaksikan konsert unplugged Siti pada malam itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selain suami Siti, Datuk Sri Khalid Mohd Jiwa dan anak-anak mereka.

Antara lagu yang dipersembahkan Siti, Membunuh Cinta, Mula & Akhir, Jaga Dia Untukku, Lebih Indah, Seluruh Cinta dan lagu medley seperti Mahligai Asmara, Satu Cinta Dua Jiwa, Jawapan Di Persimpangan, Purnama Merindu, Diari Hatimu, Aku Cinta Padamu, Biarlah Rahsia, Intriq Cinta, Tanpa Kalian, Usah Diragui, Wajah Kekasih, Kau Kekasihku dan banyak lagi.

Pada malam itu juga Siti turut menampilkan Awi Rafael dan Faizal Tahir mengiringi persembahannya melalui lagu Mula & Akhir serta Aku dan Warna Dunia.

Turut hadir Cikgu Adnan Abu Hassan yang banyak membantu kerjaya Siti pada zaman awal dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:24 PM