UQASHA Senrose. FOTO Arkib NSTP
UQASHA Senrose. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose tampil memohon maaf secara terbuka susulan memuat naik video promosi Konsert Stars on Fire Hrithik Roshan di Instagram miliknya baru-baru ini. 

Uqasha berkata, dia bertindak memadam hantaran itu selepas dilabel sebagai 'liberal' oleh netizen. 

"Saya sudah pun padam hantaran terbabit dan ingin memohon maaf. 

"Saya mendapat ribuan komen pada hantaran terbabit, ada yang sifatkan saya tak sensitif dengan keadaan semasa.

"Jadi nak mohon maaf, bukan kerana tak sensitif tentang isu semasa. Saya bukannya nak tegakkan apa-apa pun di sini, salah tetap salah. 

"Terima kasih atas teguran yang baik, mana yang kononnya 'done unfollow' itu semua saya tak boleh nak halang. Apapun, saya mohon maaf," katanya dalam satu sesi siaran langsung di Instagram, semalam. 

Selain memadamkan hantaran terbabit, Uqasha sudah menghubungi penganjur konsert itu bagi menjelaskan situasi sebenar dan mencapai kata sepakat.

Dalam masa sama, Uqasha mengaku kesilapan yang dilakukan memandangkan terlalu meminati bintang terkenal Bollywood itu.

"Kekhilafan saya sendiri kerana teralpa sekejap. Mungkin kerana saya terlampau minat Hindustan, saya teruja. 

"Manusia tak lepas daripada buat kesilapan, saya tak takut dengan mulut orang komen macam-macam, cuma sesiapa yang tegur cara baik, saya hargai dan saya sudah padamkan. 

"Saya rasa macam dibuli, saya nak tenangkan hati, saya akui mungkin saya terlepas pandang dan orang fikir saya tak sensitif. Jadi, saya terus padamkan dan jelaskan pada semua orang. 

"Saya bukan liberal, bukan neutral, tak takut hilang pengikut mahu pun bimbang akaun Instagram disekat,"katanya. 

Sementara itu, isteri kepada pelakon Kamal Adli ini berkata, setiap hari dia mengikuti perkembangan terkini krisis Palestin-Israel, namun menganggap tidak semua perkara perlu dikongsikan dalam media sosialnya.

"Saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya cakap, setiap perkara yang saya lakukan, produk yang saya boikot (berkaitan Israel), sumbangan yang saya buat, rasanya tidak perlu untuk saya beritahu kepada semua orang," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 2:25 PM