Dr Aizai Azan (dua dari kiri) dan Dr Roziah (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MoA antara UiTM dan IJN. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Dr Aizai Azan (dua dari kiri) dan Dr Roziah (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MoA antara UiTM dan IJN. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) kerjasama program pascasiswazah dalam pembedahan kardiotorasik.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, matlamat utama kerjasama itu adalah untuk meluas dan memudahkan perkongsian pengetahuan, kepakaran dan kemahiran dalam bidang penjagaan kardiovaskular dan torasik.

Menurutnya, ia adalah evolusi semula jadi untuk IJN kerana sebagai institusi pakar jantung terulung negara, pihaknya mempunyai tanggungjawab untuk membina kapasiti sektor kesihatan negara secara keseluruhan.

"Sejak penubuhan IJN 30 tahun lalu, kami melabur secara strategik dalam membina tenaga bakat perubatan di Malaysia sehingga reputasi kami sebagai pusat latihan kardiovaskular dan toraks diiktiraf pelbagai pihak sehingga berjaya menarik tenaga profesional dari dalam dan luar negara.

"Kami melatih kakitangan perubatan dari negara jiran antaranya Vietnam, Jepun, Indonesia, Filipina dan Brunei," katanya dalam ucapannya pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.

Memorandum itu ditandatangani Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor dan Dr Aizai Azan yang disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof Madya Dr Fazah Akhtar Hanapiah dan Ketua Pegawai Klinikal IJN, Dr Hasri Samion @ Mingan.

Antara matlamat kerjasama itu, perancangan dan pelaksanaan pelbagai program kepakaran pascasiswazah berkaitan pembedahan kardiotorasik, kardiologi (dewasa dan pediatrik), anestesiologi jantung, rawatan rapi, pemulihan jantung dan bidang lain yang berkaitan.

Dr Aizai Azan berkata, walaupun dengan jumlah pakar terlatih sedia ada, pihaknya berpandangan kepakaran itu masih perlu ditingkatkan bagi menangani beban penyakit jantung serta permintaan dan perawatan kardiotoraks yang semakin meningkat.

Sementara itu, Dr Roziah berkata, gabungan dan kerjasama itu akan memperkasakan usaha sama dalam pelbagai bidang yang memberikan impak besar kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, inisiatif pertama kerjasama ini adalah mewujudkan program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik) dan Kedoktoran Surgeri Kardiotorasik selaras dengan visi, misi dan matlamat untuk menghasilkan pakar bedah kardiotorasik bertaraf dunia.

"Program kerjasama UiTM dan IJN ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pakar bedah kardiotorasik yang berkualiti tinggi dan meningkatkan bilangan pakar bedah kardiotorasik bagi memenuhi nisbah populasi dan permintaan negara bagi mengurangkan kadar bilangan pesakit jantung di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:04 PM