GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kangar: Sebanyak 17.76 peratus daripada 1,357 kematian di negeri ini pada 2021 adalah akibat penyakit jantung iskemia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Katanya dalam kenyataan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini, penyakit itu turut menyumbang sebanyak 13.7 peratus kematian di Malaysia pada tahun sama.

Menurut kenyataan itu, perkara itu telah dipersembahkan Aizai Azan kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam, ketika baginda berangkat merasmikan Program Saringan Kesihatan Jantung; IJN bersama UniMAP yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra universiti itu.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP, disambut oleh Naib Canselor Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Aizai Azan.

Program inisiatif sosial korporat IJN itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung, selain menyediakan pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma di samping memberikan khidmat nasihat serta bimbingan menjalani gaya hidup sihat.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah kes kematian mengejut akibat serangan jantung dalam kalangan golongan muda yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik perlu dipandang serius.

"Beta berharap agar usaha murni ini akan terus membantu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih sensitif dengan tahap kesihatan masing-masing," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 11:19 AM