LELAKI Itu dibarisi pelakon hebat tanah air. FOTO Hazreen Mohamad
LELAKI Itu dibarisi pelakon hebat tanah air. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri


Siapa sangka, drama bersiri terbitan Rumah Karya Citra berjudul Lelaki Itu berjaya mencetuskan fenomena luar biasa apabila merekodkan capaian 1.13 bilion dalam media sosial sejak mula menemui penonton 19 Mac lalu.

Menurut penerbit dan penulis skrip Lelaki Itu, Erma Fatima, pihaknya berasa teruja apabila drama bersiri 30 episod itu mendapat sambutan luar biasa penonton.

"Pada awal, stesen TV sukar untuk memberi kata putus untuk memilih drama ini ditayangkan kerana naskhah ini agak berat dengan pelbagai isu dan 'plot twist'. Bagaimanapun, saya terkejut apabila TV3 terima untuk tayangkan drama ini menerusi slot Samarinda.

"Mengenai angka capaian dalam media sosial sebanyak 1.13 bilion, sebenarnya saya baru tahu dan dimaklumkan mengenainya. Kalau diikutkan setiap drama diterbitkan, saya akan lihat rating di TV.

"Namun, selepas dimaklumkan TV3 saya macam tak percaya sebab dapat capai jumlah yang begitu besar. Malah, apabila saya buka media sosial seperti TikTok, sambutannya sangat menggalakkan.

"Alhamdulillah, perjuangan nombor satu saya untuk terus membuat karya terbaik dengan kerjasama pelakon berkualiti. Saya cuba buktikan ia berhasil walaupun saya berdepan kerugian," katanya.

Biarpun drama itu begitu menarik minat masyarakat tempatan, namun Erma tidak melihat sebarang keperluan untuk menyambung drama itu kerana menganggap keseluruhan jalan cerita sudah terjawab.

"Segala persoalan dan tanda tanya sudah terjawab. Tiada apa yang perlu disambung lagi untuk drama ini. Semua jalan cerita dari awal hingga tamat 30 episod sudah jelas dan nyata. Lelaki Itu tidak akan disambung sebab ceritanya sudah habis.

SAMBUTAN drama Lelaki Itu luar jangkaan. FOTO Hazreen Mohamad
SAMBUTAN drama Lelaki Itu luar jangkaan. FOTO Hazreen Mohamad

"Kalau nak buat sambungan, saya kena cipta cerita lain. Sejujurnya, saya sangat takut dengan drama ini, tapi saya tetap cuba untuk cabar diri dan buat lebih baik daripada drama Perempuan Itu.

"Kenapa saya kata berat kerana ia banyak mengetengahkan bab agama dan hukum-hakam Islam termasuk mengenai pembahagian harta pusaka atau faraid.

"Sebelum nak mulakan penggambaran pun saya sentiasa duduk berbincang dengan seorang peguam untuk memastikan setiap perkara yang saya ingin ketahui mempunyai jawapan yang jelas dan tidak mengundang sebarang kecaman kerana kesalahan fakta," katanya.

Erma ditemui Harian Metro pada majlis Drama Sangat Close Up X Lelaki Itu di sebuah restoran di ibu negara, baru-baru ini.

Pada acara itu, episod akhir Lelaki Itu ditayangkan di hadapan tetamu termasuk pelakon dan tenaga kreatif yang menjayakan naskhah terbabit.

Karya arahan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif itu dibarisi pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nadia Brian dan Sophia Albarakbah.

Lelaki Itu berkisar Syed Mirza lakonan Adi berkahwin dengan Sharifah Qaidah (Che Puan Sarimah), iaitu wanita kaya berpengaruh.

Mereka dikurniakan tiga anak perempuan, namun, kehidupan rumah tangga mereka tidak seperti diidamkan.

Sharifah Qaidah berkelakuan seperti ketua rumah tangga kerana statusnya yang tinggi dan membuatkan Syed Mirza rasa terkongkong.

Keluarga Qaidah semakin berpecah belah selepas apa yang berlaku ke atas mereka. Tekanan Qaidah juga semakin bertambah apabila dia sukar menuntut harta sepencarian kerana suaminya sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:12 AM