AMEERUL guna impak watak Imran dalam Lelaki Itu sebaik mungkin.
AMEERUL guna impak watak Imran dalam Lelaki Itu sebaik mungkin.
Syafil Syazwan Jefri


DRAMA bersiri Lelaki Itu mencuri perhatian ramai penonton dari segenap sudut.

Tidak hanya deretan pelakon utama dalam kalangan Gred A, malah watak sampingan lain juga mula mencuri tumpuan.

Itu yang dirasakan Ameerul Asyraf, 33, menerusi watak Imran yang dilakonkannya dalam drama bersiri di slot Samarinda TV3 itu.

Namun, watak sebagai 'anak ikan' itu mendapat pelbagai kritikan pedas daripada penonton yang rata-rata berasakan ia tidak bersesuaian dengannya.

Namun, dari satu sisi berbeza, itu sedikit sebanyak memberi impak kepada kerjaya seni Ameerul yang kini menjangkau usia lima tahun.

"Saya dah lama tak rasa perkara begini. Kali terakhir impak besar menerusi Leftenan Zana. Kemudian saya ada berlakon beberapa drama cuma orang tak banyak bercakap.

"Ketika berlakon dalam Leftenan Zana, banyak komen positif berbanding dalam drama ini. Tapi, watak itu dicipta untuk mendapatkan kebencian penonton. Maksudnya, menjadi," katanya.

Dek kerana watak Imran yang sentiasa dikritik hebat, Ameerul berkongsi pengalaman berdepan pelbagai jenis peminat yang kini mula mengenali namanya.

"Sekarang dah makin kerap orang ambil gambar dengan saya bila keluar. Abang-abang pun ramai berbanding golongan 'mak cik bawang'," katanya.

Berkongsi mengenai impak yang diterima akibat lakonannya sebagai Imran, Ameerul berkata, dia menjayakan watak itu berdasarkan skrip yang ditulis Erma Fatima.

"Pengarah ada berkongsi rasa gembira, cuma dia nasihatkan supaya 'bertahan' sedikit dengan impaknya. Skripnya daripada Kak Erma, jadi ia ditulis 'on-going'. Pagi-pagi saya akan baca skrip yang dihantar dan ada yang saya tambah sedikit 'ad-lip'," katanya.

Menurutnya, sedikit sebanyak kritikan netizen itu memberikan kesan kepada kehidupannya walaupun dia enggan terlalu banyak berfikir mengenainya.

"Mula-mula saya tak baca komen sangat. Selepas beberapa hari, mula tular di TikTok mengenai komen netizen yang meluahkan rasa tak puas hati dengan watak saya itu.

"Tak boleh tidur juga bila kena kecam sebab tak pernah kena begini. Rasa tertekan juga mula-mula bila orang cakap muka tak elok dan sebagainya.

"DM tak banyak, cuma saya sendiri baca komen mereka. Sampai jam 4 pagi saya baca, semua komen buruk. Resah juga untuk saya tertidur. Terkejut sebab tak pernah kena begini sejak lima tahun lalu. Kemudian pasal rambut dan sebagainya.

"Bagi saya, tak ada masalah. Mungkin mereka tak nampak, tapi kita ada alasan tersendiri. Watak itu dibenci orang pun dah bersyukur," katanya.

Ditanya mengenai penampilannya sebagai 'anak ikan' yang dianggap tidak sesuai, Ameerul menjelaskan bahawa dia sebelum itu menjalani penggambaran drama berjudul Badai Semalam dan memegang watak sebagai nelayan.

"Jadi, sebulan saya di Kelantan menjalani penggambaran dan cuaca panas juga. Sebelum ini pernah juga saya fokus watak, tapi tak jadi untuk dipanggil.

"Jadi, kali ini saya cuma ada masa dua minggu untuk masuk ke set Lelaki Itu, jadi transisi dari nelayan menjadi 'anak ikan' memang 'susah' untuk dapatkan imej itu.

"Mungkin netizen nak pelakon yang lebih sesuai di mata mereka. Tapi, bagi saya produksi terutama penerbit dan penulis skrip seperti Kak Erma lebih tahu," katanya.

Kata Ameerul lagi, dia menghormati pendapat penonton yang membanding-bandingkannya dengan beberapa nama lain seperti Nazim Othman, Meerqeen, Hun Haqeem, Nadhir Nasar dan ramai lagi, namun meminta supaya diberikan peluang.

"Saya sebagai pemegang watak Imran, sebenarnya kalau saya tengok balik, saya boleh buat macam-macam lagi. Cuma, saya nak kekalkan kemelayuan kita.

"Dalam cerita ini, ada Datuk Adi Putra, ada Fadlan. Saya mula-mula nak warnakan rambut, tapi sebagai pelakon yang nak bawa jiwa Melayu itu, biar rambut saya hitam.

"Bila disebut nama pelakon lain, saya rasa orang Malaysia dah dihidangkan dengan pelakon berwajah Korea. Jadi, bila lagi peluang untuk muka Melayu seperti saya, Beto dan sebagainya. Mungkin Kak Erma juga ada kriterianya sendiri," katanya.

Berkongsi pengalaman berlakon bersama pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim, Ameerul menggambarkan figura itu sebagai selebriti yang sangat merendah diri dan menyenangkan.

"Selepas Nora Danish, Sarimah adalah orang yang saya mudah nak bekerja. Saya kenal dia sebagai kerabat dan risau juga. Tapi, babak pertama saya dengannya adalah di kelab malam. Mahu atau tidak, saya kena mesra dengannya.

"Saya terkejut dengan reaksi awalnya yang sangat profesional. Kalau ada waktu rehat, kami banyak berborak, bergurau dan sebagainya untuk wujudkan keserasian.

"Saya terkejut juga sebab di media sosial, apabila saya bergabung dengannya, dia setuju dan sama-sama kongsi. Jadi, dia sangat profesional dan mudah," katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan kariernya, Ameerul bersyukur walaupun perkembangannya agak perlahan, namun rezekinya sentiasa ada.

"Bagi saya karier saya bergerak perlahan, tapi rezeki masih ada. Lima tahun sepanjang saya dalam industri, ada naik dan turun dan ada juga ketika yang mendatar.

"Saya sedang cuba mencipta nama semula. Impian saya, saya nak jadi hero, tapi belum ada rezeki. Mungkin belum cukup lagi 'syarat' untuk saya jadi watak utama.

"Jadi, saya tak boleh duduk diam dan kena berusaha untuk tambah baik penampilan dan sebagainya. Saya takkan tertekan sebagai cinta saya terhadap lakonan sangat mendalam.

"Ini batu loncatan untuk saya naikkan semula nama saya," katanya.

Pernah terpalit kontroversi tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangat walaupun untuk menaikkan semula namanya adalah satu proses sukar.

"Tahun lalau ada isu pasal 'clubbing' dan sebagainya. Tapi, semua dah selesai dan saya cuba nak naikkan semula nama saya.

"Susah untuk cipta nama semula sebab bila kita terjatuh, sentiasa ada sesuatu yang menyekat untuk naik. Tapi, bila ada rezeki kali ini, saya terima untuk naik semula," katanya.

Selain Ameerul dan Sarimah, Lelaki Itu turut dibintangi Datuk Adi Putra, Nadia Brian, Sophia Albarakbah, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nabila Huda, Nur Fazura, Nadia Brian dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:00 AM