Oleh Sudirman Mohd Tahir


Lebih sedekad bergelar pelakon, Balkisyh Semundur Khan, 29, mengakui baru merasai tempias populariti selepas membintangi drama bersiri Mak Cun.

Menurut Balkisyh atau nama sebenarnya Balkisyh Semundur Khan, sebelum ini dirinya kurang dikenali meskipun membintangi puluhan drama dan telefilem.

Balqis berpendapat mungkin penampilannya yang kurang menarik menjadi punca.

“Ramai cakap saya tidak menjaga penampilan. Hakikatnya daripada dulu saya ringkas orangnya. Bagi saya penampilan tak berapa penting.

“Seboleh-bolehnya saya mahu jadi seperti orang biasa, bukannya bergaya 24 jam.

“Apabila nama mula menjadi sebutan, ada menyarankan supaya saya kuruskan badan jika mahu jadi heroin,” katanya.

Sambung Balkisyh, dia bersyukur apabila watak lakonannya dalam Mak Cun melekat di hati penonton.

“Pembabitan pertama saya dalam produksi Kak Erma adalah menerusi telefilem Spain Uoolss kemudian Ajaibnya Cinta. Selepas itu, Kak Erma kembangkan watak saya dalam drama bersiri Mak Cun.

“Daripada situlah saya mula kenal erti popular. Ke mana sahaja saya pergi pasti ada yang kenal dan memanggil saya Atul. Terima kasih kepada Kak Erma kerana memberi saya peluang bekerja dengan produksinya,” kata Balkisyh.

Ternyata percaturan ibu kepada dua cahaya mata ini melakonkan watak komedi menjadi dan serasi dengannya.

“Ini kerjasama pertama saya dengan Kak Erma. Tak sangka pula dengan naskhah terbabit nama kian dikenali. Walaupun dulu saya sering melakonkan watak antagonis, karakter Atul yang dicipta kak Erma lebih meninggalkan kesan.

“Sebelum ini, saya pernah juga bawa watak komedi, tetapi mungkin penonton tak perasan. Kali ini ia sangat berbeza kerana Kak Erma tak mahu watak saya nampak kosong. Dia sangat teliti apabila mencipta watak,” katanya.

Lakonan Balkisyh tidak sekadar hebat di kaca TV, malah turut cemerlang di pentas teater muzikal Mak Cun yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 14 sehingga 22 November ini.

“Alhamdulillah, ramai memberi maklum balas positif. Ini juga percubaan pertama saya di pentas teater.

“Sejujurnya, ada beberapa babak saya melakukan kesilapan dari segi teknik, tetapi ramai cakap tak perasan sebaliknya terhibur,” katanya.

Berikutan sambutan menggalakkan, siri kedua Mak Cun akan menemui peminat tahun depan.

Penggambaran dijangka bermula pertengahan bulan depan dengan menyaksikan penampilan Ogy Ahmad Daud selaku Chombie.

Demi komitmennya terhadap pementasan teater Mak cun, Balkisyh menolak tawaran menjayakan dua drama untuk slot Akasia TV3.

“Memandangkan dua produksi itu mementingkan disiplin, saya tolak secara baik. Saya tak mahu menyusahkan pihak mereka jika tidak dapat menepati masa ke lokasi. Saya juga perlu fokus dengan latihan teater.

“Apabila difikir semula rasa rugi tolak rezeki, tetapi nak buat macam mana, saya harus dahulukan mana yang utama,” katanya.

Semakin bahagia

Pernah mengejutkan industri dengan kisahnya dipukul suami, Mohd Aizad Mohd Rosli, 32, pada 2012, Balkisyh mengakui rumahtangganya kini semakin bahagia.

Malah kehadiran anak keduanya, Muhamad Nor Qaisyah Khan, 2, mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang mereka.

Anak pertama Balkisyh, Nur Qalesya kini berusia enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:21 AM