NAM RON
NAM RON
Ramlah Zainal


Sepanjang dua dekad dalam bidang seni, pelakon, pengarah, penulis skrip dan aktivis teater terkenal, Nam Ron sudah beraksi dalam puluhan filem serta drama terbitan produksi tempatan.

Antara filem yang menaikkan namanya ialah Paloh, Gubra, Bunuhon, Terbaik Dari Langit, 29 Februari, Ular, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium, Langgar dan Redha.

Menerusi filem Redha, Nam Ron memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2016.

Ternyata, tanpa bersandarkan wajah komersial, Nam Ron terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama dan filem ketika ini.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Shahili Abdan, 47, ini berkata, penonton sekarang sudah bijak menilai dan mengutamakan naskhah berbanding wajah pelakon semata-mata.

“Saya kesal tanggapan segelintir pihak iaitu pelakon berwajah kormersial saja mampu melariskan sesuatu drama atau filem.

“Bagi saya, nilai kormersial seorang pelakon tidak semestinya melariskan sesebuah drama atau filem itu.

“Contohnya, ada pelakon popular dan berwajah komersial tetapi tidak semua filem lakonannya laris,” katanya.

Nam Ron berkata, kejayaan atau kegagalan filem dan drama bukan bergantung kepada pelakon semata-mata, sebaliknya membabitkan aspek pemasaran yang betul.

“Tidak boleh salahkan pelakon cantik dan popular atau tidak jika filem tidak laku tetapi bahagian promosi serta pemasaran juga memainkan peranan penting,” katanya yang kini membintangi filem televisyen berjudul Che Pa.

Diminta mengulas kenyataan penerbit drama Che Pa iaitu Fadzil Teh dari Zeel Production mengenai dirinya pilihan kedua selepas pelakon Faizal Hussain yang dianggap lebih komersial, Nam Ron tiada isu mengenai perkara itu.

“Saya terima tawaran buat cerita ini kerana ingin bekerjasama dengan pengarahnya, Sabri Yunus. Selain itu, saya juga mahu mengangkat seni tarian yang pernah popular di negeri kelahiran iaitu Perlis iaitu hadrah.

“Hadrah adalah cabang seni yang semakin dilupai dan popular sekitar 1910 di utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jadi lelaki lembut dalam Che Pa

Watak Che Pa turut memberi cabaran tersendiri buat Nam Ron yang pertama kali melakonkan watak lelaki lembut dan berpakaian seperti wanita.

“Watak Che Pa ialah penari hadrah yang memerlukan saya berhias dan bersanggul. Cabaran utama adalah terpaksa berdepan dengan solekan tebal, sanggul berat dan menari tarian tradisional.

“Saya juga perlu suntik emosi dalam diri Che Pa kerana seorang lelaki tetap ada jiwa perempuan dalam dirinya,” katanya.

Nam Ron juga bersedia menerima kritikan daripada penonton mengenai lakonannya sebagai lelaki lembut dan berpakaian wanita dalam cerita itu.

“Salah satu faktor kerana penonton kita mungkin belum bersedia dengan watak sedemikian. Sebenarnya, mereka perlu membaca sejarah tarian hadrah yang dibawa masuk pedagang Parsi dulu memang menampilkan penari lelaki,” katanya.

Nam Ron berkata, Che Pa juga lakonan terakhirnya bersama Allahyarham Yus Jambu.

“Saya sebak bila menonton lakonan arwah Pak Yus dalam Che Pa. Arwah seolah-olah tahu dia akan meninggalkan kita kerana dia memang balik kampung dan berjumpa dengan kawannya di Perlis ketika penggambaran Che Pa pada 2014.

“Arwah pernah menyertai kumpulan teater saya dan dia memang pelakon pentas yang bagus dan bukan pelawak semata-mata. Anda boleh melihat bakat lakonannya yang sebenar dalam Che Pa.

“Sebenarnya, banyak projek yang kami rancang bersama tetapi tidak kesampaian kerana arwah terlebih dulu meninggalkan kita,” katanya.

Che Pa turut menampilkan barisan pelakon seperti Ezany Nazariff, Amyza Aznan, Zainol Johari MacWilson dan bakat baru, Putri Hanan.

Che Pa boleh ditonton di saluran Astro First Eksklusif bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:01 AM