Sufian Suhaimi
Sufian Suhaimi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Sufian Suhaimi meluahkan perasaan gembira dapat menghiburkan peminatnya di pentas terbuka menerusi Karnival Gen-AI yang berlangsung di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada hari ini dan esok.

Sufian, 32, berkata, dia sudah lama teringin berjumpa peminat di seluruh negara dan undangan ke karnival ini membolehkan dia bertemu peminat di utara tanah air.

"Saya rasa amat bertuah diundang untuk terbabit dalam program sebegini dan tidak sabar untuk bertemu peminat. Mereka dari seluruh pelosok tanah air adalah penyokong kuat kerjaya seni saya dari awal sehingga kini.

"Perkara paling seronok dapat menyertainya kerana dapat mendekatkan saya dengan mereka. Tiada jurang antara saya dengan peminat. Mereka dapat mengenali saya dengan lebih dekat.

"Suasananya amat berbeza dengan persembahan di tempat tertutup kerana di lokasi begitu penonton yang hadir hanyalah golongan tertentu sahaja dan terhad," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, karnival ini tidak boleh dipandang dari sudut hiburan sahaja kerana penganjur menampilkan pelbagai program lain yang bermanfaat.

"Ada aktiviti Muay Thai Kuda Merah pada malam ini. Selain itu ada juga Karnival Kerjaya, Pameran Agensi dan pertandingan e-sports dan jualan pelbagai barangan yang pasti dapat menarik kehadiran peminat.

"Karnival ini terbuka kepada orang ramai khususnya anak muda di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak. Saya jemput agar mereka datang beramai-ramai memeriahkannya," katanya.

Karnival Gen-AI julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH), Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara, dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM). Selain Sufian, barisan artis terkenal lain yang ditampilkan ialah Apak & Chombi, kumpulan Khalifah, Senario dan Floor 88.

Karnival Gen-AI ini juga akan diserikan lagi dengan vendor lokal utara iaitu Jalan Pasola dan gerai-gerai menarik untuk dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 4:25 PM