ISMAIL Sabri (dua,kanan) bersama Hasni melakukan gimik pelancaran ketika Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ISMAIL Sabri (dua,kanan) bersama Hasni melakukan gimik pelancaran ketika Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik

Pontian: Lebih 5,000 peluang kerja ditawarkan oleh 20 majikan dari pelbagai industri di seluruh negara pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Johor yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Karnival itu adalah kesinambungan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 19 Februari lalu.

Karnival kerjaya itu sebagai usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai khususnya di daerah Pontian dan kawasan sekitarnya.

Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP), iaitu satu daripada tiga komponen di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, JKIP bermatlamat merangsang majikan mencipta pekerjaan dan membuat pengambilan pekerja baharu dengan sasaran 300,000 pekerja sepanjang tahun 2022.

Hadir sama, pada majlis perasmian itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.

Karnival itu menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan kepada pencari kerja seperti bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Negara - MYFutureJobs, sesi kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume dan sesi temu duga terbuka bersama majikan.

Karnival diadakan sepenuhnya secara fizikal itu berlangsung di tiga lokasi bermula 3 Mac di Johor Bahru, 5 Mac di Mersing dan 6 Mac di Pontian.

Antara jawatan yang ditawarkan adalah jurutera, juruteknik, juruukur bahan, tukang masak, chef, kru restoran, pembantu klinik, pengurus akaun dan pemasaran, kerani serta perantis.

Majikan yang menawarkan peluang pekerjaan pula terdiri daripada sektor awam termasuk agensi kerajaan seperti Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), PERKESO, HRD Corp serta syarikat swasta.

Dalam pada itu, pengunjung karnival berkenaan memuji keprihatinan PERKESO selain inisiatif Keluarga Malaysia dalam memastikan penganggur dibantu mendapatkan pekerjaan.

Bagi Rosmawati Rahmat, 48, beliau berterima kasih kepada PERKESO dan inisiatif Keluarga Malaysia yang membantunya mendapatkan pekerjaan.

"Saya dibuang kerja April tahun lalu, namun PERKESO menerusi My Future Job membantu saya mendapatkan pekerjaan sebulan selepas menganggur.

"Karnival Kerjaya Jamin Kerja hasil inisiatif Keluarga Malaysia ini juga amat bermanfaat dan perlu diperluaskan di lebih banyak tempat bagi membantu penganggur dan graduan mendapatkan kerja," katanya.

Bagi graduan, Nur Ain Syafirah Hussin, 21, beliau menyifatkan kehadirannya ke Karnival Kerjaya Jamin Kerja di Dewan Jubli Intan Pontian sebagai langkah kanan apabila memperoleh peluang pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas ( PTP) di Iskandar Puteri.

"Saya ditawarkan kerja sebagai pemandu 'prime mover' dengan gaji sebanyak RM1,200, selain pelbagai elaun dan latihan yang diberikan.

"Memang saya hendak kerja di PTP sebab minat dengan sektor pelabuhan yang mempunyai banyak kapal dan lori. Saya mahu buktikan wanita juga boleh bekerja dalam sektor ini," katanya yang tinggal Kampung Tenggayun, dekat sini.

#kw karnival, kerjaya, keluarga Malaysia, pekerjaan, Ismail Sabri Yaakob, Pontian

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 3:28 PM