#FANtastik ABPBH 31 akan diadakan pada Sabtu ini. FOTO ABPBH31
#FANtastik ABPBH 31 akan diadakan pada Sabtu ini. FOTO ABPBH31
Najiy Jefri


BUAT julung kalinya, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) menganjurkan Karnival #FANtastik iaitu majlis santai bersama peminat yang diadakan di laman Istana Budaya, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Karnival berkenaan menghimpunkan kira-kira 20 kelab peminat (FC) artis yang akan membuka ‘booth’ dan melakukan pelbagai aktiviti bersama selebriti pujaan mereka bermula seawal 8.30 pagi.

Antara FC yang akan membuka ‘booth’ adalah Siti Zoners (kelab peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza); Janna Nickers (Janna Nick); Khai Bahar Empire (Khai Bahar) dan Syafiq Kyle FC (Syafiq Kyle).

Tidak ketinggalan, kelab peminat Nur Fazura, Fasha Sandha, Wany Hasrita, Zizan Razak, Emma Maembong, Nabila Razali, Abam, Izzue Islam, Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah.

Pengerusi ABPBH 31 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, usaha menghimpunkan kelab peminat dalam acara khusus julung kali dibuat bagi menambah kehangatan malam kemuncak anugerah paling lama bertahan di Malaysia.

"Selama ini, FC membantu dalam proses undian selain mengikuti siri jelajah ABPBH. Kali ini, buat kali pertama, kita menjalin kerjasama dengan FC dalam acara khusus yang mengeratkan hubungan artis, kelab peminat dan BH.

"Pelbagai aktiviti disusun termasuk setiap FC membuka ‘booth’ dan menjalankan acara di premis masing-masing, selain jualan produk seperti barangan ‘preloved’ artis.

"Selain itu, sesi ramah mesra, kuiz bersama artis dan pelbagai lagi acara dirancang FC pasti menjadikan program #FANtastik meriah dan penuh warna-warni," katanya.

Lebih menarik, majlis pengumuman pra kemuncak ABPBH ke-31 di Istana Budaya juga akan diadakan pada hari sama untuk berkongsi butiran mengenai pengacara, artis yang bakal membuat persembahan dan penyampai trofi pada malam 7 Oktober depan.

Pada majlis itu, tetamu akan dipertontonkan elemen 'look & feel' tema ABPBH 31 iaitu INFINITI melalui pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal, Razman Razmi.

Selain itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti Khai Bahar, Shaa, Sufian Suhaimi, Lan Solo dan Aman Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 3:09 PM