ADLY (tengah) meluangkan masa bergambar bersama pengunjung ketika sesi lawatannya ke Karnival Jom Heboh. Turut hadir, Johan Ishak (dua kiri). FOTO Khairunisah Lokman
ADLY (tengah) meluangkan masa bergambar bersama pengunjung ketika sesi lawatannya ke Karnival Jom Heboh. Turut hadir, Johan Ishak (dua kiri). FOTO Khairunisah Lokman
Amir Mamat


KARNIVAL Jom Heboh (KHJ) di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka dijangka menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong ke Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, selain mampu menjadi destinasi riadah utama terutama menjelang hujung tahun, penganjuran KHJ juga dapat mempopularkan lagi beberapa lokasi pelancongan menarik di negeri ini.

“Kita meletakkan sasaran 20 juta pelancong akan mengunjungi Melaka sepanjang tahun ini dan satu daripada acara yang menyumbang kepada kehadiran pelancong adalah KHJ.

“Saya berterima kasih kepada Media Prima Berhad (MPB) yang memilih Melaka bagi penganjuran kali ini,” katanya selepas melawat gerai pameran dan jualan KHJ, hari ini.

Hadir sama, isterinya Dalilah Awaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Johan Ishak.

Melaka adalah destinasi terakhir KJH selepas Shah Alam, Johor Bahru, Sabah dan Pulau Pinang.

Karnival dua hari berakhir esokmenyediakan pelbagai aktiviti keluarga bersama artis popular serta selebriti TV3, TV9, 8TV dan NTV7 serta rangkaian radio Hot FM dan Kool FM.

Sementara itu, Johan berkata, pihaknya menjangkakan 400,000 pengunjung akan membanjiri lokasi terakhir itu sepanjang dua hari penganjurannya.

Beliau berkata, selain aktiviti jualan, KJH juga menampilkan program hiburan dan persembahan pentas membabitkan beberapa artis popular seperti Sufian Suhaimi, Ara Johari, Andy Flop Poppy, Haiza dan Neon.

“Seperti sebelum ini, seorang pengunjung bertuah akan memenangi sebuah kereta Nissan Serena 2.0L Highway Star dengan menyertai peraduan Jom Menang Kereta.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri serta semua rakyat Melaka yang sentiasa memberikan sokongan kepada KJH selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:14 PM