Ustaz Kazim
Ustaz Kazim

Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

Kuala Lumpur: Pendakwah, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim berpendapat bahawa tindakan merehatkan pendakwah dan pengacara, Ustaz Don Daniyal dari bersiaran di media utama adalah satu kerugian besar.

Kazim ketika ditemui di Malam Gala Filem Zim Zim Ala Kazim berkata, Don memiliki kelebihan dalam menarik minat pelbagai generasi terutamanya generasi muda untuk mendekati agama.

"Ustaz Don adalah anak murid saya sebelum dia ke Al-Azhar. Dia seorang pendakwah yang mempunyai cara penyampaian yang mudah difahami.

"Anak-anak muda boleh ikut dengan bahasa, sopan-santun dan lemah lembutnya. Dia berjaya menarik minat ramai orang.

"Bagi saya, satu kerugian yang besar jika Ustaz Don tidak boleh bercakap di saluran media utama lagi.

"Memang kita ada media sosial, tapi orang tetap nak melihat kita di saluran media utama seperti TV, radio dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Kazim, dia juga pernah berdepan tindakan gam, namun, menggunakan situasi itu untuk dijadikan proses memperbaiki kekurangan diri.

"Jadi, mungkin ada pencerahan yang perlu dilakukan oleh Ustaz Don. Ketika ini, pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pun dah panggil dia dan Mufti Wilayah juga sudah berikan kenyataan.

"Saya juga pernah kena gam. Namun, saya hormat keputusan itu dan saya harus perbetulkan semula kesilapan saya.

"Saya percaya, bila kita buat yang terbaik, saluran seperti TV dan radio akan panggil kita balik. Begitu juga dengan masyarakat," katanya.

Kazim juga menyeru agar masyarakat tidak menghentam Don seolah-olah tidak ada kebaikan yang pernah dilakukannya sebelum isu ini timbul.

"Dalam isu ini, kita kena lapangkan hati. Bagi pihak masyarakat pula, janganlah terus menghentam dia seolah-olah dia tidak pernah berbuat baik.

"Apa salah Ustaz Don sampai nak kena maki hamun. Kalau betul dia salah, kita berjumpa dan nasihat dengan baik," katanya.

Ditanya sama ada dia menghubungi Don untuk berbicara mengenai perkara ini, Kazim berkata, anak muridnya itu tentunya lebih arif akan tindakan sewajarnya.

"Saya tak ada hubungi dia pun. Cuma dia ada mesej saya mengenai perjalanan program Salam Baitullah. Saya pun tak nak balas atau serabutkan fikiran dia.

"Saya tak nak tambah tekanan dia lagi. Saya tahu, Ustaz Don adalah seorang individu yang berfikiran terbuka. Andai kata direhatkan, dia akan akur.

"Dia bukan jenis melawan. Jadi, tak perlu saya nasihat sebab dia tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Terdahulu, Radio Televisyen Malaysia (RTM), merehatkan Ustaz Don susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 2:25 PM