Pendakwah Terkenal, Ustaz Don Daniyal ketika ditemui pada Sidang Media Berhubung Kontroversi Hadis di Smoke Kingdom by Don. FOTO GENES GULITAH
Pendakwah Terkenal, Ustaz Don Daniyal ketika ditemui pada Sidang Media Berhubung Kontroversi Hadis di Smoke Kingdom by Don. FOTO GENES GULITAH
Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya : Pendakwah, Ustaz Don Daniyal berharap agar netizen memilih, meneliti dan menghitung sesuatu maklumat yang mereka terima dan tidak menerimanya secara bulat-bulat berdasarkan dakwaan sebelah pihak.

Don ketika ditemui di sesi sidang media yang berlangsung semalam berkata, walaupun dia didakwa menggunakan hadis tanpa sumber dan dilabel sebagai individu yang memutar belit fakta, itu adalah tidak benar.

"Harapan saya kepada semua netizen seperti mana kita nak makan, kita memilih. Kita tak makan sebarangan. Kita tengok ada halal atau tidak, sedap atau tidak, elok atau tidak, sesuai untuk Instagram atau tidak tempat itu, makan begitulah terlebih utama kepada ilmu.

"Perhatikan siapa yang menyampaikan kerana tengok juga macam mana latar belakang orang yang menyampaikan. Perkataan yang mereka selalu gunakan kepada saya, suka 'spin' (putar belit). Tapi, saya tak 'spin' apa-apa. Yang buat benda itu adalah pihak mereka. Jadi, netizen perlulah menghitung," katanya.

Ditanya mengenai strategi penyampaian dakwah yang akan digunakannya selepas ini, Don berkata, dengan ujian ini, tentunya dia akan meningkatkan lagi kualiti dakwahnya.

"Pertama, kamu tak boleh guna skil sama di peringkat seterusnya. Kata orang, kalau ada ujian, orang itu nak naik 'tingkat' (martabat).

"Gred penyampaian dan pengisian saya, Insya-Allah akan lebih menarik dan bermanfaat kepada rakyat Malaysia. Seperti mana saya mahu anak-anak saya berguru dengan orang yang baik, saya akan jadi guru yang baik untuk anak-anak anda.

"Kedua, penulisan ilmiah dan sebagainya kepakaran sebahagian orang. Dakwah adalah kepakaran saya," katanya.

Don juga mengambil peluang di sesi sidang media itu untuk mengucapkan terima kasih kepada ustaz-ustaz serta institusi yang membantu memberikan jawapan atas situasi yang berlaku.

"Berkaitan dengan rujukan, pertama, sebelum pilih panel, kami melalui Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan pihak berkuasa terlebih dulu untuk lepaskan benda itu. Kedua, skrip kami sehingga hari ini, sepanjang apa yang saya cakap, tak ada apa lagi yang boleh dibuktikan sebagai sesuatu yang salah dan tak ada sumber.

"Setiap malam (sepanjang program Salam Baitullah bersiaran), sejak saya buat Salam Baitullah pada 2021, habis saja program, akan dilakukan perbincangan. Maknanya, semuanya berpandu dengan panduan.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua ustaz dan institusi yang tolong memberi jawapan kepada apa yang berlaku. Saya sangat berterima kasih. Dengan cara begitu, mereka ini orang yang ada kuasa dan membuatkan institusi lain, tak ada isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:14 PM