USTAZ Kazim (kiri) pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti. FOTO Luqman Hakim Zubir
USTAZ Kazim (kiri) pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti. FOTO Luqman Hakim Zubir
Syafil Syazwan Jefri

 

"SAYA akan kumpulkan Da'i dan Pencetus Ummah (PU), dan akan lakukan perbincangan."

Itu jawapan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim ketika diminta mengulas isu berkaitan segelintir pendakwah bebas generasi baru yang terpalit dengan kontroversi dan masalah sosial.

Ustaz Kazim ketika ditemui pada Majlis Tausiah di Sepang, hari ini berkata, dia juga pernah terbabit dalam program realiti TV yang melahirkan pendakwah dan meminta golongan pendakwah supaya menjaga akhlak. 

"Saya pernah terbabit secara langsung sebagai Mudir dan Mursyid untuk program-program ini. Jadi, saya minta mereka untuk menjaga akhlak mereka," katanya.

Tambahnya, pertemuan hari ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga mencetuskan idea untuk menubuhkan satu suruhanjaya khas bagi golongan pendakwah. 

"Ada cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya khas pendakwah. Mungkin dengan adanya suruhanjaya ini, akan ada peraturan di mana seseorang itu perlu melalui tempoh dan syarat tertentu sebelum dapat menjadi penceramah atau pendakwah bertauliah," katanya. 

Menyentuh mengenai isu pendakwah yang terpalit kontroversi baru-baru ini, Ustaz Kazim menyerahkan kesemua keputusan kepada pihak mahkamah. 

"Biar mahkamah yang tentukan. Apa yang salah tetap salah. Saya minta untuk semua berikan ruang dan waktu supaya proses perbicaraan dapat berjalan lancar. 

"Saya minta keadilan dapat ditegakkan kepada yang menjadi mangsa dan juga yang dituduh," katanya. 

Sementara itu, penceramah, Ustaz Don Daniyal pula berkongsi nasihat daripada Menteri Agama di Majlis Tausiah itu. 

"Pesan menteri kepada semua ustaz-ustaz adalah kena jaga diri terutamanya mereka yang sentiasa ada dalam kaca mata masyarakat," katanya. 

Tambahnya, nama pendakwah pernah tercalar sejak zaman Rasulullah SAW. 

"Perkara ini berlaku sejak zaman Rasulullah lagi. Semulia-mulia baginda pun, ada orang pernah gelarkan sebagai orang gila. 

"Jadi, golongan pendakwah dan masyarakat perlu mainkan peranan masing-masing seperti imam dan makmum. Kedua-dua ada fungsi masing-masing," katanya. 

Diminta mengulas isu pendakwah yang terpalit kontroversi, Ustaz Don berkata, yang salah tetap salah. 

"Apa yang salah tetap salah dan ada laluan hukumannya. Tapi, kita sebagai masyarakat juga perlu melihat apa yang berlaku secara hikmah. 

"Jasa dan akhlak seseorang juga perlu didengari. Contohnya, kalau orang bukan Islam memberi nasihat yang baik dan benda itu betul, kita kena terima," katanya. 

Bagi PU Amin yang muncul menerusi program realiti Pencetus Ummah, akhlak dan kehidupan seseorang itu perlu berpandukan ilmu. 

"Menteri ada sebut, kita perlu menjaga akhlak kita. Kehidupan kita juga perlu berpegang kepada asas ilmu," katanya. 

Selain membahaskan pendakwah selebriti, Majlis Tausiah itu juga menyentuh beberapa perkara lain antaranya hala tuju pendakwah dalam masyarakat hari ini dan juga penyelesaian permasalahan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:54 PM