NOORDIN dan Kid gembira dengan pelancaran Rockology Search: Kid’Din Collection Series.
NOORDIN dan Kid gembira dengan pelancaran Rockology Search: Kid’Din Collection Series.
Ridzuan Abdul Rahman


Lakaran sejarah tercipta apabila pemain gitar adik-beradik kumpulan Search, Noordin dan Kid kini tampil dengan barangan Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa.

Menariknya pelancaran yang dibuat menerusi Facebook Home Of Champions (HOC) pada 17 November lalu, turut diraikan peminat Search yang sudah lama menunggu sejak projek terbabit diumumkan.

Mereka ternyata teruja mahu memiliki koleksi yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan dijual secara dalam talian dengan harga RM299.

Gembira dengan sambutan yang diterima, penerbit dan pemilik HOC, Mozylir Mokhtaruddin berkata, idea untuk projek ini tercetus dari ilham Noordin ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang serius.

"Tiada apa yang dapat dibuat kerana semua konsert dan persembahan termasuk membabitkan Search ditunda dan dibatalkan.

"Jadi, kami terpaksa memikirkan usaha lain dan selepas perbincangan, kami bertiga sepakat untuk mengeluarkan kompilasi lagu berat dan balad terbaik yang dipilih sendiri oleh adik-beradik ini.

"Konsepnya ia dihasilkan dalam bentuk boxset bersama 17 barangan istimewa khas buat peminat Search," katanya yang turut merancang mengeluarkan produk lain selepas ini.

Noordin pula berkata, semua lagu terbabit adalah daripada album Search yang diterbitkan syarikat Go Search Sdn Bhd yang dimiliki mereka secara bersama.

"Pengunduran Amy secara rasmi dari Search pada Mac tahun lalu membuatkan kami yang tinggal berusaha keras untuk meneruskan aktiviti kumpulan ini.

"Proses remastered semua lagu yang terpilih dibuat mengikut prosedur yang betul. Saya dan Kid ada hak kerana hari ini kami masih anggota Search," katanya.

Sebagai alternatif memastikan kesinambungan hayat Search, Noordin dan Kid menjalinkan kerjasama dengan penyanyi Akim Ahmad dan beberapa pemuzik lain untuk beraksi dalam konsert yang dirancang.

Selain itu, dia juga bercadang mahu merakamkan semula lagu Search pada masa akan datang dengan menggunakan khidmat penyanyi dan pemain bass yang lain.

Menyentuh berkenaan pemilihan lagu dalam boxset, Noordin berkata, semuanya menampilkan teknik permainan gitar terbaik yang pernah mereka rakamkan dalam album Search.

"Ia adalah rakaman gitar terbaik daripada kami berdua merangkumi segi teknik, bunyi dan solo gitar," katanya.

Sementara itu, Kid berkata, Konsert Bikin Wilayah yang sebelum ini ditunda tetap diteruskan pada tarikh lain.

Rockology Search: Kid'Din Collection Series mengandungi antaranya CD berkembar mengandungi 22 lagu Search iaitu Melastik Ke Bintang dari album Karisma, Purnama (Fenomena 2003), Analogi 0.1 (Rampage), Neo Romantik (Rampage), Balada Pemuzik Jalanan (Double Trouble 2), Teguh (Karisma), Bencana (Fenomena 2003), Mancis Dah Basah (Bikin Wilayah), Honky Tong Kosong (Gema Di Timur Jauh), Feel The Pain (Rampage) dan Kereta Merah (Rock & Roll Pie).

CD kedua pula mengandungi lagu Panggung Khayalan dari album Rock & Roll Pie, Di Pintu Sepi (Double Trouble 2), Bersalah Atau Tidak (Gema Di Timur Jauh), Bayangan Baiduri (Bikin Wilayah), Andai Ku Miliki Semalam (Gema Di Timur Jauh), Diari Habil & Qabil (Rock & Roll Pie), Paranoid (Karisma), Menara Kesesatan (Fenomena 2003), Rock & Roll Pie (Rock & Roll Pie), Roket (Gema Di Timur Jauh) dan Orait Mama (Karisma).

Turut dimuatkan ialah trek bonus iaitu solo gitar daripada Noordin.

Setiap pembelian turut disertakan Authenticity Certificate beserta siri nombor dalam setiap RockoBox.

Pembeli turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menampilkan tiga hadiah hebat iaitu Gema Di Timur Jauh custom made guitar (Noordin signature series), Rampage custom made guitar (Kid signature series) dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Hard Rock, Desaru Coast, Johor.

"Pemenang akan dipilih secara rambang melalui sistem berkomputer melalui siri nombor di RockoBox.

"Undian akan dibuat secara live bagi memastikan ia adil dan telus dan keputusan undian adalah muktamad," katanya.

Rockobox boleh dibeli di laman web www.fenomenasearch.com, Facebook Home Of Champions, Instagram @homeofchampions.store.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:12 AM