SAZZY bersyukur kerana suaminya, Nazril selamat menjalani pembedahan di bahagian tulang selangka. FOTO Instagram Sazzy Falak
SAZZY bersyukur kerana suaminya, Nazril selamat menjalani pembedahan di bahagian tulang selangka. FOTO Instagram Sazzy Falak
Ramlah Zainal


“SAYA bersyukur kerana suami selamat menjalani pembedahan di bahagian tulang selangka dan kini berehat di rumah.

“Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak terutama rakan rapat dan pengikut laman Instagram yang tidak putus mendoakan kesihatan suami sampai sekarang,” kata pengacara dan pelakon terkenal, Sazzy Falak, 38, ketika mengulas perkembangan suaminya, Nazril Idrus ketika ini.

Terdahulu, Nazril dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan teruk kerana terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal bersama rakannya pada awal Oktober lalu.

Malah, tulang selangka sebelah kirinya juga patah empat dan tiga tulang rusuknya turut retak kerana kemalangan terbabit.

Menurut Sazzy, Nazril menjalani pembedahan di bahagian tulang selangkanya di HKL pada Selasa lalu.

“Alhamdulillah, pembedahan selama lima jam ini berjalan lancar dan suami sudah dibenarkan keluar dari wad pada Jumaat lalu.

“Doktor juga meminta suami tidak banyak bergerak dan berehat di rumah selama dua minggu hingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas aktiviti berbasikal pula, kata Sazzy, doktor menasihatkan suaminya berehat selama dua bulan daripada aktiviti luar.

“Memang suami akui trauma sedikit selepas kemalangan itu tetapi saya tidak dapat menghalang minatnya untuk meneruskan aktiviti terbabit.

“Kami memang sama-sama meminati aktiviti luar termasuk berbasikal tetapi suami akan lebih berhati-hati daripada aspek keselamatan selepas ini,” katanya.

Sazzy atau pemilik nama sebenar, Sazlini Shamsul Falak berkahwin dengan pelakon dan pengacara yang kini bekerja sebagai perunding kewangan, Nazril Idrus, 45, pada 2006.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang anak kembar perempuan iaitu Lily Imaan dan Tiara Rose, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 5:38 PM