ASHRAF sedih umat Islam berpecah.
ASHRAF sedih umat Islam berpecah.
Zaara Talita


Susulan kempen Blockout2024 yang terus menjadi bualan hangat netizen di media sosial, pelakon, Ashraf Muslim memohon supaya orang ramai tidak keterlaluan sehingga bertelagah sesama sendiri.

"Setiap orang mempunyai hak masing-masing untuk menyokong atau tidak. Saya okey, cuma jangan sehingga memecahbelahkan orang Islam, orang Malaysia sesama kita. Ini sangat tak bagus. Kalau kita nak tegur, tegur secara elok, baik dan berhemah.

"Mungkin ada penyelesaian untuk kita memperjuangkan Islam dan Palestin. Biar dengan cara yang betul kerana takut kita akan bertelagah antara satu sama lain.

"Boleh boikot produk yang boleh membantu menjejaskan ekonomi mereka. Jika ada pilihan untuk kita gunakan jenama lain, kita guna barang lain," katanya.

Enggan rakyat Malaysia berpecah belah gara-gara isu ini, Ashraf turut menjelaskan sumbangan juga tidak semestinya dihebahkan oleh individu yang menghulurkan tangan.

"Ini kerana kita tak tahu, mungkin ada sumbangan yang dibuat dalam pada kita tidak tahu atau sedar. Setiap orang ada sumbangan masing-masing.

"Tak semestinya orang itu senyap tidak menyumbang apa-apa. Sebenarnya sumbangan itu tak semestinya di media sosial, tempat lain pun ada yang buat atau ada yang tak nampak. Apa yang penting sebenarnya di saat ini, kita perlu lebih rapatkan silaturrahim," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya, Ashraf bercerita mengenai peranannya sebagai Sultan Mahmud dalam teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka yang diarahkan Lokhman Ghani.

Katanya, cabaran terbesar baginya adalah ketika hendak menukar pakaian untuk babak seterusnya dalam masa sangat singkat.

"Ketika membaca skrip, saya sebenarnya terkejut kerana wataknya berubah-ubah sekelip mata. Kalau tahu cerita mengenai Sultan Melaka dan Tun Fatimah, beliau sanggup bunuh semua keturunan Bendahara untuk dapatkan apa yang diinginkan.

"Watak saya juga berbeza dengan watak yang dibawakan ini. Lama-kelamaan saya menyukai perjalanan jalan cerita yang juga sejarah kita," katanya.

BERSAMA pelakon teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka, Neera (kiri) dan Jalaludin.
BERSAMA pelakon teater Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka, Neera (kiri) dan Jalaludin.

Ashraf berkata, dia terbabit dalam teater bukan semata-mata kerana wang, tetapi kerana keseronokan dan pengalaman untuk belajar.

"Semua maklum teater bayarannya lebih rendah, namun keseronokan dalam proses itu banyak mengajar saya. Biarpun saya bukan pelajar teater, tetapi ingin mendalami bidang ini lebih lagi," katanya.

Selain Ashraf, teater berkenaan turut membariskan pelakon seperti Datuk Jalaludin Hassan, Aziz M Osman, Zack Kool, Neera Azizi dan atlet silat negara iaitu Al Jufferi.

Ia dipersembahkan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:55 AM