Nor Akmar Samudin


Kepada mereka yang pernah mengkaji dan membaca sejarah Kesultanan Melaka, pasti sudah tahu benar tragedi yang menimpa Tun Fatimah ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

Beliau bukan saja jelita, tetapi tangkas dan bijak sehingga diangkat sebagai Srikandi Empayar Melaka yang sanggup menghunus keris demi menegakkan kebenaran terhadap bapanya, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dihukum bunuh atas titah sultan angkara fitnah Mendaliar dan Kitul.

Mengagumi semangat dan keberanian Tun Fatimah, maka sudah beberapa kali pengiat seni teater negara mempersembahkan teater Tun Fatimah namun pementasan Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka lakonan Maya Karin, Remy Ishak dan arahan Lokman Ghani yang dipentaskan selama dua hari di Panggung Bangasawan Melaka pada Jumaat dan Sabtu lalu diolah lebih menarik.

Walaupun pentas panggung itu kecil, Lokman memanfaatkan setiap ruang yang ada dengan sebaik mungkin dan penggunaan LED memberikan kesan khas yang mengagumkan.

Pembukaan tirai persembahan teater itu sudah membuatkan penonton yang datang terus terpaku di kerusi.

Dialog yang dilontarkan Tun Fatimah (lakonan Maya Karin) cukup terkesan di hati apabila dia menzahirkan rasa dukanya tatkala dia berkahwin secara paksa dengan Sultan Mahmud (Remy Ishak) yang antara lain dia berkata, “dia sanggup berkahwin dengan Sultan Mahmud namun ia bukanlah satu percintaan yang sempurna”.

Hati siapa yang tidak rawan, angkara fitnah manusia yang busuk hati, cemburu dan tamakkan kuasa, seluruh keluarganya mati dibunuh termasuklah suami yang baru dikahwininya iaitu Tun Ali (Ashraf Muslim).

Ditemui selepas berakhirnya pementasan, Remy berkata, dia terasa tidak puas beraksi sebagai Sultan Mahmud dan jika pementasan itu dilanjutkan tiga atau empat hari lagi pasti dia dapat memberikan persembahan yang lebih baik.

Namun, Remy akur kerana teater itu adalah pementasan khas yang dibuat bagi menyambut ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ke-79. Beliau turut hadir menyaksikan pementasan itu, Jumaat lalu.

Menurut Remy, oleh kerana watak Sultan Mahmud pernah dibawakan pelakon lain, jadi dia membawakan watak pemerintah negeri Melaka itu sebagaimana yang dicorakkan Lokman.

“Walaupun gambaran Sultan Mahmud seorang yang zalim dan sangat garang tetapi saya tidak boleh beraksi berlebihan kerana lakonan saya perlu ‘bergerak’ selari dengan pelakon lain.

“Ini adalah pementasan dan kita bukan nak merealisasikan watak itu secara realiti. Ia juga adalah kerja berpasukan lalu saya tidak boleh menggunakan ‘vision’ saya sendiri untuk watak Sultan Mahmud,” katanya.

Menurut Remy, apapun dia amat menyukai karya sebegitu.

“Bukan senang nak dapat naskhah sehebat itu. Dua tahun lalu saya berlakon teater tradisional Muzikal Randai Cinduo Mato juga arahan Lokman Ghani dan saya sentiasa menunggu naskhah seperti ini.

“Sebagai pelakon saya gembira dapat membawakan pelbagai watak, apatah lagi dapat membawakan peranan tokoh sejarah. Ia adalah cabaran besar dan sangat menguji diri saya.

“Jika ada pihak yang mahu mengangkat cerita Tun Fatimah ke layar perak, apa yang saya buat sekarang sebagai persediaan saya untuk pergi ke filem pula,” katanya.

Maya belajar silat 3 minggu saja

Ramai yang tidak puas menyaksikan Maya bersilat.

Menurut Maya, dia berlatih bersilat selama tiga minggu saja. Itu pun selepas dua minggu, guru silatnya mengalami kemalangan dan digantikan dengan orang lain.

“Jika saya ada masa tiga atau empat bulan untuk belajar bersilat tentu saya boleh buat lebih baik. Walaupun naskhah ini sangat mencabar saya untuk berpantun dan memahami bahasa klasik, saya sangat sukakan teater ini dan menanti untuk membawakan lagi watak Tun Fatimah.

“Banyak bahasa lama dalam skrip yang saya tak faham seperti perkataan ‘gundah’. Tak pernah saya dengar apabila orang susah hati dia beritahu dia gundah. Remy dan Lokman terpaksa menjelaskan kepada saya mana-mana dialog atau perkataan dalam bahasa klasik yang saya tak tahu,” katanya.

Berlakon, menyanyi, menari dan bersilat agak meletihkan Maya, namun dia gembira dan begitu teruja dapat menjayakan pementasan itu, apatah lagi itu kali pertama dia beraksi di pentas bangsawan.

Terharu sokongan peminat

Remy dan Maya amat terharu apabila peminat mahu mereka terus berlakon bersama kerana keserasian mereka berdua.

“Baguslah jika orang kata kami serasi. Selagi kami dapat karya yang menarik dan penonton seronok menontonnya, kami pun gembira dan itu bermakna tugas kami sebagai penghibur berjaya.

“Saya dan Remy sempoi, santai dan relaks saja,” katanya.

Bagi Remy, ia adalah satu pujian buat mereka dan dia pasti akan berganding lagi dengan Maya.

Walaupun berlatih dalam masa singkat dan pementasan selama dua hari saja, namun mereka berdua lega dan gembira kerana Mohd Khalil suka dan terhibur dengan pementasan itu.

Habis saja pementasan itu, Remy akan ke lokasi drama terbaru lakonannya untuk slot Akasia dan Maya pula akan bercuti ke Jerman sebelum kembali sibuk dengan projek single terbarunya dengan Awi Rafael.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:53 PM