Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini terhadap penerbit filem Mentega Terbang yang mencetus kontroversi dan tular selepas didakwa mempersendakan Islam.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, filem ini mempermainkan agama Islam sedangkan agama Islam dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia.

"Saya menganggap filem ini menghina dan juga menghasut rakyat Malaysia supaya bertukar agama. Benda ini adalah benda yang salah 100 peratus. Tak kisahlah pengarahnya kata kena tengok dulu filem ini sampai habis. Banyak lagi kandungan lain boleh dibuat, tapi bab agama dan bab perpaduan jangan diusik

"Sebelum ini Seniman pernah buat laporan polis terhadap filem Babi arahan Namawee, kini masih lagi ada percubaan yang nak mengganggu-gugat umat Islam dan Perlembaan Persekutuan," katanya ketika ditemui di sidang media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi, di sini, jhari ini.

Pihaknya turut menggesa pihak berkuasa menyiasat filem ini dan mengambil tindakan undang-undang ke atas penerbit dan pengarah filem ini di bawah Akta Hasutan 1948.

"Kalau kita tengok cerita itu ada beberapa babak seolah-olah menghasut anak itu untuk bertukar agama sesuka hati. Kita juga desak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasat di bawah Akta SKMM.

"Kita tak nak dengar apa-apa alasan. Pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga dah keluar kenyataan filem ini memang salah dan ada unsur-unsur lari akidah. Mereka juga keluar kenyataan untuk jumpa produksi filem ini.

"Saya gesa Jakim jangan hanya menyiasat malah ambil tindakan yang sangat tegas. Ini penting kerana Seniman terima banyak aduan berkenaan filem ini.

"Ada juga yang bertanya berkenaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Apa tindakan yang boleh diambil mereka? Soalan saya setiap produksi yang buat penggambaran perlu ada Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

"Saya juga gesa Finas siasat perkara ini. Adakah mereka ada semua ini? Jika tiada, Finas juga boleh ambil tindakan. Di pihak Seniman pula, semakin mendapati mereka semua bukan ahli Seniman.

"Dalam syarat undang-undang kecil Padu Citra mereka kena jadi ahli Seniman dan persatuan-persatuan lain. Saya gesa Finas siasat. Kalau tiada semua ini mereka tak boleh berlakon. Seniman juga akan senarai hitam mereka bergantung kepada mesyuarat exco nanti," katanya.

Hafiz berkata, laporan ini juga akan dipanjangkan kepada Menteri Kementerian Komunikasi & Digital Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Penasihat Agama Seniman, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, produksi ini tidak merujuk al-Quran sepenuhnya sebelum menghasilkan filem terbabit sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Kami akan ambil langkah lain sekiranya laporan ini tiada tindakan. Seniman tidak akan berdiam diri," katanya.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng ini mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Ia mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malah ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:10 PM
HAFIZ Nafiah (tiga dari kanan) membuat laporan polis terhadap filem Mentega Terbang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Asyraf Hamzah
HAFIZ Nafiah (tiga dari kanan) membuat laporan polis terhadap filem Mentega Terbang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Asyraf Hamzah