Ifa Raziah. Foto Raihana Mansor
Ifa Raziah. Foto Raihana Mansor
Ramlah Zainal


Subang Jaya: "Mereka cuba jatuhkan saya. Ada seorang dua sanggup berbuat seperti itu.

"Saya juga terpaksa pecat dua pekerja sebab mereka menipu dan tidak jujur," kata penyanyi dan usahawan, Ifa Raziah, 48, ketika diminta mengulas dakwaan ada pihak yang cuba menikamnya dari belakang agar perniagaan yang diusahakannya itu gagal.

Ifa berkata, dua pekerja terbabit secara diam-diam memberikan khidmat mereka kepada pihak lain yang menganjurkan program berbeza.

"Bukan setakat itu sahaja, saya juga berdepan dengan ujian yang bertimpa-timpa sehingga terfikir untuk menamatkan saja penganjuran acara Starvendors yang dikendalikan saban tahun ini," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis berbuka puasa bersama artis Starvendors di sebuah hotel di USJ di sini, baru-baru ini.

Mengulas penganjuran acara itu lagi, kata Ifa, dia juga berdepan dengan masalah penajaan hingga membuatkan dirinya berasa tawar hati untuk meneruskan program berkenaan.

Katanya, perkara itu menyebabkan segala proses pengurusan acara itu menjadi lewat pada tahun ini.

"Bohonglah, kalau tidak menangis sebab saya memang sudah kecewa dari awal lagi kerana penganjuran edisi ke-15 ini membabitkan banyak isu.

"Saya juga pernah terfikir mungkin ini penganjuran acara yang terakhir kerana mahu fokus pada bisnes lain," katanya.

Bagaimanapun, kata Ifa, dia bersyukur kerana acara itu akhirnya mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sebagai rakan strategik.

Starvendors KLCC Mega Raya Fest berlangsung di Hall 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula esok hingga 1 April ini.

Acara ini membabitkan 300 reruai dan lebih 70 artis popular serta pempengaruh seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Shuib Sepahtu, Erra Fazira, Bella Astillah, Diana Danielle, Shaheizy Sam, Aisha Retno, Emma Maembong, Rita Rudaini, Mawar Rashid dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:28 PM