IFA RAZIAH
IFA RAZIAH
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penganjuran acara bazar Aidilfitri, Star Vendors Mega Raya Fest 2021 yang sepatutnya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, bermula esok hingga Ahad ini ditunda ke 2 hingga 4 Julai ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula esok hingga 20 Mei ini.

Ketua Eksekutif Starvendors Event Sdn Bhd yang juga penyanyi, Ifa Raziah berkata, keputusan diambil selepas perbincangan bersama beberapa pihak.

"Terlebih dahulu pihak pengurusan ingin memohon maaf kepada semua peniaga, selebriti, tenaga kerja, kontraktor, kru dan semua yang bekerjasama menjayakan acara kami. Kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran anda semua kerana sudi menunggu dan memberikan ruang dan kesempatan kepada pihak pengurusan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian untuk keputusan pengumuman PKP," katanya.

Ifa berkata, keputusan menunda program itu diambil kerana lebih 90 peratus persiapan sudah dilakukan.

"Kami cuba meringankan kerugian peniaga dan tidak mahu mereka menanggung kerugian yang lebih besar jika program ini diteruskan," katanya.

Menurut Ifa, pihaknya juga rela hati memulangkan semula bayaran kepada semua peniaga terbabit.

Proses bayaran balik akan dibuat dalam tempoh 60 hari waktu bekerja bermula esok.

Bagaimanapun, mereka boleh memilih sama ada kekalkan bayaran yang sudah dibuat dan dibawa ke Julai ini atau boleh memilih untuk mendapatkan pemulangan bayaran.

"Allah datangkan ujian supaya kita kuat, Allah tangguhkan sesuatu supaya kita sabar, Allah hilangkan sesuatu supaya kita reda, ada hikmahnya. Doa yang baik-baik, Insya-Allah yang datang semua yang baik-baik," katanya.

Terdahulu, Ifa dalam satu kenyataan sedia berdepan dengan segala risiko termasuk membatalkan dan memulangkan semula wang peniaga terbabit sekiranya kerajaan melaksanakan semula PKP ekoran peningkatan jumlah kes harian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:18 PM