RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP
RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur : Penganjur acara StarVendors Mega Raya Fest 2024, Star Vendors Event Sdn Bhd mengumumkan penarikan diri pelakon, Ruhainies daripada terbabit dalam acara itu yang akan berlangsung pada 29 Mac hingga 1 April ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Sdn Bhd, Datuk Saripah Raziah Mustapha berharap agar keputusan ini akan menamatkan gerakan boikot yang dilakukan masyarakat sejak beberapa hari lalu. 

"Rentetan kemelut yang melanda antara dua ahli keluarga StarVendors, kami di StarVendors sentiasa mendengar keluhan daripada semua pihak dan kami juga tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini.

"Kami akur dan hormati keputusan Ruhaines untuk menarik diri daripada menyertai acara di KLCC pada kali ini. Diharap, dengan keputusan ini, semua pihak berpuas hati," katanya. 

Pihaknya juga berdoa agar sebarang permasalahan dapat diselesaikan dan mereka dapat terus memacu matlamat untuk membantu usahawan dan artis tempatan dalam dunia perniagaan. 

"Matlamat dan usaha kami adalah untuk membantu semua usahawan dan artis, memberi peluang kepada semua untuk mencari rezeki di bulan Ramadan. Kami mendoakan agar segala permasalahan dapat diusaikan dengan sebaik mungkin," katanya. 

Terdahulu, ada pihak mahu memboikot acara itu jika Ruhainies kekal sebagai salah seorang peniaga di situ. Ia susulan kes membabitkan pelakon itu disyaki berkhalwat dengan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz baru-baru ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 6:23 PM