Izara Aishah
Izara Aishah

Kuala Lumpur: Pelakon Izara Aishah tampil membersihkan namanya selepas difitnah seorang individu yang mendakwa dia berkunjung ke kelab malam walaupun sudah berhijab.

Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 32, berkata, fitnah yang disebarkan itu boleh menjejaskan nama baiknya sekali gus perlu tampil menjelaskan perkara sebenar. 

"Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana fitnah itu boleh mencemarkan nama baik saya.

"Gambar ini adalah pada tahun lepas ketika pelancaran restoran Kikyo (restoran Jepun). Waktu itu saya sedang hamil lapan bulan.

"Dakwaan ini adalah fitnah dan saya sudah 'screenshot', tak perlu padam," tulisnya dalam satu ciapan di aplikasi X.

Izara tampil mempertahankan dirinya bagi menjawab tuduhan dimuat naik seorang pengguna aplikasi X dikenali sebagai @pkckAm yang cuba memberi gambaran tidak baik apabila mendakwa dia ke sebuah kelab malam di ibu bapa selepas seorang pengguna lain memuji kecantikan dan penghijrahan Izara.

"Tapi... Izara... Kyo... Cerita tahun lepas la tapi," tulisnya.

Bagaimanapun, individu yang mimfitnah itu tampil memohon maaf secara terbuka atas ketelanjuran kata-kata yang dibuat.

"Hi Izara, saya ingin memohon maaf secara terbuka mengenai ciapan sebelum ini yang dibuat pada 19 Mac 2024.

"Saya tidak pernah berniat untuk memfitnah atau merosakkan reputasi anda dalam apa cara sekali pun.

"Kenyataan itu dibuat tanpa saya sedar sepenuhnya mengenai majlis pelancaran itu. Saya dengan rendah hati memohon maaf," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 5:55 PM