Zaquan dan Ayu Raudhah.
Zaquan dan Ayu Raudhah.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Mungkin ada orang tidak faham. Saya menangis bukan kerana kontrak tidak disambung, tapi sebab perkataan bersara.

"Itu fasa paling sedih buat semua pemain bola sepak apatah lagi sukan ini jiwa saya."

Demikian kata pemain bola sepak terkenal negara, Zaquan Adha menjelaskan kekeliruan dikalangan banyak pihak sebelum ini.

Ia tercetus apabila suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak negara dengan linangan air mata selepas hampir dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia apabila kontraknya tidak disambung oleh Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC).

Zaquan, 37, yang juga bekas kapten NSFC, mengakui gagal mengawal perasaan bukan disebabkan hilang pekerjaan dengan gaji lumayan sebagai pemain bola sepak profesional, tapi sebaliknya tersentuh dengan perkataan bersara.

"Tak dinafikan sedikit sebanyak saya kecewa apabila jasa kepada pasukan NSFC seakan tidak dihargai. Cara penamatan kontrak itu amat menyedihkan.

"Kecewa itu pasti, saya tak boleh tipu jadi saya buat keputusan untuk berehat sekejap bagi menghilangkan rasa tersebut.

"Namun, itu tidak bermakna saya sudah lupakan sukan yang sudah jadi darah daging saya. Bola sepak tetap dalam hati saya," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di sebuah hotel, baru-baru ini.

Menurutnya, biarpun dihujani pelbagai tawaran kontrak baharu daripada pasukan lain selepas berita penamatan khidmatnya tersebar, dia selesa memilih membantu isterinya berniaga.

"Satu pintu tertutup, pintu rezeki lain pula terbuka. Saya seronok bantu Ayu berniaga Sambal Geprek AR. Kami berdua yang buat sendiri dari proses awal cari cili di pasar dan cari botol.

"Ada orang terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk cari rezeki. Namun, kami amat bertuah dapat rezeki kerja di rumah dengan anak-anak.

"Apapun hati saya masih terbuka untuk kembali beraksi di padang tapi bukan sebagai pemain bola sepak. Ada juga pasukan lain yang tawarkan saya kembali beraksi tapi saya perlu fikirkan masa depan, kena fikir panjang, lagipun saya bukan muda lagi.

"Mungkin perlu buka lembaran baru sebagai jurulatih atau usahawan yang berkaitan dengan bola sepak, paling penting nak tenang daripada dunia bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 4:35 PM