AYU bersama Zaquan.
AYU bersama Zaquan.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya tak rasa panik apabila Zaquan Adha hilang pekerjaan sebab kita percaya pada rezeki. Kami dah hidup berumah tangga selama 13 tahun. 

"Dia main bola sepak dan rezekinya bukan dari bola sepak sahaja. Dia ada rezeki di tempat lain dan kami percaya perkara itu. Gaji hanya amaun tapi rezeki kita tetap rezeki kita,".

Demikian kata pelakon Ayu Raudhah, 39, mengulas kehidupan keluarganya sekarang apabila suaminya tidak lagi bermain bola sepak dengan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC). 

Ayu yang juga adik kepada pelakon Rozita Che Wan berkata, dia bersyukur kerana kini sibuk menguruskan bisnes Sambal Geprek AR (Ayu Raudhah #anakramai) yang dijual menerusi TikTok. 

Ibu kepada enam anak ini berkata, dia percaya setiap anaknya ada rezeki masing-masing.  

"Ada tawaran berlakon tapi untuk terima bukan  masa sekarang kerana anak-anak masih kecil dan paling kecil usia 10 bulan. Keutamaan saya kepada keluarga dan suami. 

"Sekarang bila dapat buat bisnes dari rumah rasa syukur. Ia sangat-sangat menakjubkan. Ia rezeki yang tak disangka-sangka. Sambutan pun  menggalakkan," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di sebuah hotel, di sini semalam.

Menurutnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zaquan bermain dengan pasukan bola sepak Kedah dan dia menjual nasi Ayam Geprek. 

"Dia kemudian berpindah ke Negeri Sembilan. Saya pula dah ada pelanggan tetap yang minta buat nasi itu. Saya buat jualan di Negeri Sembilan.

"Namun yang tinggal jauh bertanya juga sehingga saya berfikir bagaimana nak buat untuk mereka rasa. Akhirnya tercetus idea buat sambal yang boleh pergi satu Malaysia. 

"Bulan puasa permintaan lagi tinggi. Kami buat di rumah sendiri selang dua hari sekali. Saya dan Zaquan pergi beli cili dan botol di kedai. Penat tapi jangan mengeluh dengan rezeki Allah. 

Ayu berkata, bisnesnya baru bermula dua bulan, namun jualan di TikTok sudah 4,000 botol, manakala diluar pula mencecah lebih 6,000 botol. 

"Rasa rindu untuk berlakon itu ada tapi bukan sekarang. Ada benda lagi penting nak fokus. Bila live di TikTok pula peminat tanya berlakon lagi atau tidak. Kalau nak berlakon kena bagi komitmen sepenuhnya," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 8:46 PM