ONCE Mekel ketika sesi temubual eksklusif bersama Once Mekel sempena Konsert Trio Terhebat Vol. 1 di JP Teres, Grand Hyatt. FOTO Eizairi Shamsudin
ONCE Mekel ketika sesi temubual eksklusif bersama Once Mekel sempena Konsert Trio Terhebat Vol. 1 di JP Teres, Grand Hyatt. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas penyanyi Dewa 19, Once Mekel, 54, mengakui hubungannya dengan Ahmad Dhani masih baik, tetapi sehingga kini mereka belum lagi berkesempatan bertemu di antara satu sama lain.

Once atau nama sebenarnya, Elfonda Mekel ketika ditemui berkata, dia juga secara peribadi tidak akan menyanyikan lagu yang pernah dirakamnya bersama Dewa 19 dalam Konsert Trio Terhebat Vol 1 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, 4 Mei depan.

"Hubungan saya dengan dia (Ahmad Dhani) baik saja, cuma kita belum ada kesempatan bertemu. Mungkin dalam satu isu, kita belum bertemu untuk berbincang soal penafsiran hak cipta dan hal-hal berhubungan kreatif.

"Tapi, harapan saya kalau dia (Ahmad Dhani) masuk ke Parlimen nanti kerana kita sama-sama sertai politik, maka boleh berbincang secara terstruktur, lebih positif dan konstruktif untuk membangunkan industri muzik walaupun kita berdua punya perspektif berbeza, itu biasa," katanya kepada media tempatan pada sesi temubual sempena Konsert Trio Terhebat Vol 1 di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Ditanya juga sama ada dia berasa tidak adil dengan larangan Ahmad Dhani yang menghalangnya menyanyikan lagu Dewa 19, Once berkata, dia menerimanya dengan baik kerana memahami sebab di sebalik tindakan itu.

"Saya faham kenapa tindakan larangan dibuat oleh Dhani dan boleh menerimanya dengan baik kerana kita juga pernah bersama-sama di dalam satu kumpulan.

"Malah, saya juga tidak berasa sedih dan terkilan apabila tidak lagi menyanyikan lagu- lagu Dewa 19. Tidak apa-apa sebab saya tahu apa sebabnya dan dengan rela hati saya juga buat keputusan itu secara peribadi," katanya.

Pada April tahun lalu, Ahmad Dhani sudah mengeluarkan kenyataan secara rasminya sebagai komposer lagu-lagu Dewa 19 dengan melarang Once untuk membawakan lagu daripada kumpulan itu sepanjang tampil di dalam konsertnya.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam Konsert Trio Terhebat Vol 1, Once berkata, dia sangat teruja kerana pertama kali akan beraksi sepentas bersama dua rakan penyanyi senegara iaitu Marcell dan bekas penyanyi Samsons, Bams.

"Saya amat berbesar hati untuk bersama dengan Marcell dan Bams bagi menghiburkan peminat-peminat kami di Malaysia dan Indonesia yang menetap serta bekerja di sini dengan rangkaian lagu terhebat.

"Saya bakal menyanyikan kira-kira 10 lagu daripada album solo seperti Dealova, Ku Cinta Kau Apa Adanya, Simfoni Indah, Matilah Kau dan banyak lagi. Semuanya daripada album saya sendiri," katanya.

Mengenai karier politik pula, Once yang bertanding pada Pilihanraya Indonesia, Februari lalu mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat dengan nasibnya ditentukan oleh kira-kira 4.3 juta pengundi.

Once berkata, sekiranya berjaya dalam keputusan pilihan raya yang diumumkan pada 20 Mac ini, dia akan memperjuangkan isu berkaitan hak artis dan selebriti mengenai hak cipta, isu undang-undang dan syarat berkaitan pembantu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 11:52 AM