Amir Jahari dinobat juara pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Amir Jahari dinobat juara pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Bila menang ini, ada satu perasaan yang sangat pelik," kata Amir Jahari, 32, selepas muncul juara menerusi lagu Hasrat di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Amir berkata, dia kerap menyertai pertandingan nyanyian, tetapi belum berpeluang untuk mengecap kedudukan sebagai juara.

"Saya rasa sangat gembira dan terkejut sebab saya tak pernah sangka akan jadi juara. Banyak kali saya sertai pertandingan, tapi tak pernah ada nombor pun.

"Paling tinggi (tempat) pun, ketika saya serta pertandingan bersama AG Coco dan dapat tempat kedua," katanya.

Amir yang juga pencipta dan penulis lirik lagu Hasrat berkata, dia tidak membaca mengenali ramalan orang ramai mengenai lagu itu bakal juara, sebaliknya hanya mendengar makluman daripada kenalannya.

"Mengenai ramalan orang di media sosial, saya tak baca Twitter sebelum saya naik ke pentas. Tapi, ada orang yang maklumkan kepada saya.

"Bagaimanapun, saya tak mahu percaya sebab saya tak pernah jadi juara. Saya tak mahu berharap sebab apa pun, di penghujung hari, saya tetap diri saya dan biar muzik saya yang 'bercakap' sendiri," katanya.

Di pentas AJL38, lagu Hasrat berjaya menewaskan 11 lagu lain yang turut bertanding. Menerusi kemenangan itu, Amir membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000 dan trofi.

Lagu Hasrat juga adalah runut bunyi filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha yang menampilkan lakonan Beto Kusyairy, Diana Danielle, Datuk Afdlin Shauki, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.

Kerjaya muzik Amir yang berasal dari Kuching, Sarawak bermula dengan menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) pada 2011.

Bagaimanapun, dia hanya mampu bertahan sehingga minggu ketiga apabila diumumkan tersingkir bersama seorang lagi pelajar AF9, Ayda Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 8:10 AM