Aina Abdul ditempat ketiga pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Aina Abdul ditempat ketiga pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Aina Abdul, 31, bersyukur walaupun berada di tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung malam tadi.

Aina yang tampil dengan lagu Jangan Mati Rasa itu ketika ditemui berkata, setiap lagu ada kekuatan tersendiri dan sesiapa saja peserta yang bergelar juara akan diraikannya.

"Tahun ini, kita dapat melihat penyertaan dari pelbagai genre muzik. Jadi, kalau saya cakap saya sedih kerana dapat tempat ketiga, maksudnya saya tak bersyukur dan itu sudah berlawanan dengan tujuan utama, kenapa saya menulis lagu.

"Semua lagu ada kelebihan masing-masing dan tak sepatutnya dipertandingkan. Air lagu semuanya berbeza. Siapa pun yang menang, saya akan tumpang gembira," katanya.

Aina berkata, dia juga adalah peminat lagu Hasrat dendangan juara AJL38, Amir Jahari.

"Saya adalah peminat lagu Hasrat. Bila orang tanya, lagu apa yang akan menjuarai AJL38, saya akan jawab Hasrat.

"Walaupun saya adalah penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, tapi jiwa saya sebenarnya seperti lagu-lagu Amir. Cara saya menulis lagu pun bermula dengan gitar sebab saya suka lagu sebegini," katanya yang juga pencipta dan penulis lirik lagu Jangan Mati Rasa Itu.

Sebagai pemenang tempat ketiga, Aina membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Selain itu, Aina juga turut memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang hadiah RM12,000 serta trofi dan juga kategori Pilihan Alha Alfa dan membawa pulang RM12,000 dan trofi.


Pertama kali Amir Jahari rasa nikmat juara

AIsha Retno kena serangan panik

Hasrat solidariti Amir untuk yang syahid di Palestin

Amir Jahari juara AJL38


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 8:07 AM