Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Video pelakon dan pengacara, Ain Edruce, 32, bermain dram lagu Toxicity daripada band nu metal, System Of A Down yang dikongsi di Instagram itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial itu.

Ain yang bermain drama secara bersahaja sambil memakai kasut tumit tinggi menampakkan dia seperti pemain dram profesional.

Malah, ramai yang kagum dia mampu memainkan lagu genre nu metal itu di mana teknik permainannya dilihat agak sukar dan laju.

Ain ketika dihubungi berkata, dia memang berhasrat untuk belajar bermain dram dengan lebih serius dan memang mengimpikan membuat persembahan di pentas besar.

Katanya, dia mula serius bermain dram sejak akhir tahun lalu.

"Mula serius sejak saya beli set dram akhir tahun lalu. Sebelum ini adalah tahu sedikit asas bermain sebab saya pun ambil jurusan muzik. Kadang-kadang bila ikut kawan-kawan pergi 'jamming', adalah ketuk dram sikit-sikit.

"Zaman sekolah menengah dulu, saya nak belajar main dram tapi ayah tak bagi. Dia suruh saya belajar piano. Bila sudah dewasa ini, barulah dapat beli set dram sendiri, pegang dan betul-betul belajar," katanya.

Ain berkata, dia memang sangat sukakan lagu-lagu genre metal seperti yang dimainkannya itu.

"Kalau main dram, saya suka lagu yang 'loud' dan rancak. Kalau lagu sedih memang kuranglah. Di rumah saya seorang saja pandai bermain alat muzik. Mungkin kalau Amirul (suami) pandai main gitar, mungkin layan lagu-lagu jiwang.

"Bila saya seorang, memang suka lagu-lagu yang 'happening', rancak dan rock. Selain lagu System Of A Down, saya sangat sukakan My Chemical Romance," katanya.

Dalam pada itu, Ain mengakui banyak lagi yang harus diperbaikinya dalam permainan.

Katanya, dia akan mencari masa terbaik bagi mempertajamkan kemahiran bermain alat muzik itu.

"Banyak lagi nak kena belajar. Yang saya tunjuk itu pun banyak kesilapan, saya 'post' pun saja suka-suka sebab itu hobi. Sudah lama tak main, bila dapat pegang balik alat muzik, seronok.

"Ada perancangan nak upah guru dram untuk ajar tapi masa macam terkekang sejak jadi ibu. Tapi memang ada niat nak berguru betul-betul. Manalah tahu dapat beraksi di pentas-pentas besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:17 PM