MEMILIH tidak menghiraukan kecaman peminat terhadapnya.
MEMILIH tidak menghiraukan kecaman peminat terhadapnya.
Ridzuan Abdul Rahman


Memiliki pengalaman yang luas sebagai hos bukan bermakna Ain Edruce, 30, mengambil mudah bidang pekerjaan yang dilakukannya.

Justeru, dia amat berhati-hati apabila diberikan tugasan mengacara program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) bergandingan dengan pelakon, Kamal Adli di TV3.

Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, memandangkan ini kali pertama dia dapat kepercayaan mengendalikan program terbabit, dia lebih selesa mengambil langkah sedemikian.

"Ia adalah program yang baharu juga buat saya bersama TV3. Jadi banyak benda yang saya kena biasakan kerana cara saya mengacara sebelum ini agak lain.

"Kita tahulah, bila bercerita berkenaan program cinta kena lembut sikit. Jadi, ia banyak mengajar saya terutamanya kena tukar cara pengacaraan agar sesuai dengan program.

"Sebelum ini orang pun tahu gaya pengacaraan saya bagaimana. Saya sebenarnya macam gila-gila sikit. Tapi untuk yang ini (LCK3) saya disarankan agar lebih romantik. Itu cabarannya," katanya lagi.

Selain LCK3 yang akan berakhir pada Ahad ini, Ain juga sinonim dengan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) dengan melakonkan karakter Lola.

"JKK untuk musim ini dah berakhir tayangannya. Insya-Allah, harapnya tahun depan akan ada rakaman lagi.

"Tak tahulah sama ada saya masih terpilih, tapi harap-haraplah JKK masih nakkan Lola. Saya pun dah serasi dengan semua pelakonnya.

"Selain itu, saya juga diberikan kepercayaan mengemudi Anugerah Drama Sangat 2021 (ADS2021) berganding dengan Nabila Huda yang berlangsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu. Ia satu lagi penghargaan besar buat saya," katanya.

Karier Ain turut berjalan sukses di stesen TV lain seperti dia tampil dalam program Cannot Brain untuk Astro Warna.

"Insya-Allah, akan ada program baharu babitkan saya dengan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi (Paknil) untuk Astro nanti.

"Jujur diakui, saya seakan tak sabar nak kongsi dengan semua orang kerana ini pertama kali program yang dirasakan seronok buat saya bekerjasama dengan Paknil.

"Alhamdulillah, banyak benda juga saya dapat belajar dengan dia sepanjang kerjasama kami itu," katanya.

Ain yang memasuki industri hiburan sejak 2015 berkata, berbanding dulu, sekarang tak dinafikan ada lebih banyak persaingan dalam industri.

"Banyak artis baharu muncul. Juga pempengaruh (influencer) dari media sosial pun dah ramai masuk dalam industri. Jadi, persaingan lebih banyak dengan muka-muka baharu ini.

"Tetapi, agak mudah nak berhubung dengan peminat kerana peranan media sosial juga semakin kuat.

"Maklum balas peminat terhadap saya, alhamdulillah agak bagus.

Namun, biasalah ada yang suka dan ada juga yang tidak," katanya.

AIN ubah gaya pengacaraan dalam Lagu Cinta Kita.
AIN ubah gaya pengacaraan dalam Lagu Cinta Kita.

Fokus kepada anak

Mengakui masih berdepan kecaman dan menerima penilaian yang buruk daripada warganet, Ain menganggap itu sebagai adat pekerjaan yang dipilihnya.

"Kita kenalah terima dengan hati terbuka. Kadangkala saya ada juga mengadu dengan suami, namun dia selalu bagi semangat dan kata tak payah ambil peduli.

"Banyak lagi yang saya nak terokai sebenarnya dalam seni. Rindu juga nak berlakon, tapi apapun saya harus fokus besarkan anak, Soraya yang kini berusia tujuh bulan.

"Saya dan suami, Amirul Hafiz Mustaffa, 29, kini bergilir-gilir jaga anak kerana belum mempunyai pembantu rumah," katanya.

Ain yang kini mengehadkan watak lakonan memandangkan statusnya sebagai isteri dan ibu mengakui, terlalu merindukan tugas sebagai pengacara program berkonsep 'jalan-jalan percutian'.

"Saya memang rindu sangat nak buat program percutian ke tempat-tempat menarik. Selain bekerja, kita juga boleh jalan-jalan menerokai pelbagai aktiviti disediakan. Insya-Allah, kalau ada tawaran nanti dapatlah saya lepaskan gian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 7:00 AM