DARI kiri: Yem, Enal, Rizal (sebagai pemain gitar undangan), Joey dan Awang.
DARI kiri: Yem, Enal, Rizal (sebagai pemain gitar undangan), Joey dan Awang.
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN rock terkenal, BumiPutra Rockers atau BPR sudah terbabit dalam industri muzik tanah air sejak 1985 dan setakat ini menghasilkan lebih 10 album.

Dianggotai Joey, 56, selaku penyanyi, Awang, 55, (gitar), Yem Bai, 53, (bass) dan Enal, 58, (dram), BPR meniti populariti menerusi album kedua dengan lagu antaranya Seribu Tahun Takkan Mungkin, Dari Sinar Mata dan Harum Subur Di Hati.

Walaupun anggotanya berasal dari Johor, agak mengejutkan apabila kumpulan ini tidak pernah berpeluang beraksi di negeri kelahiran mereka.

“Kami tak pernah buat persembahan di Johor dan ini hakikat yang perlu diakui. Namun, penantian ini bakal berakhir dengan penganjuran Konsert Jelajah 1,000 Tahun Takkan Mungkin BPR.

“Ia akan berlangsung pada 28 Disember ini di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru. Ini konsert pertama kami di Johor dan boleh dikatakan sejarah buat BPR. Ibaratnya kami seperti sirih pulang ke gagang.

“Dahulunya Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) adalah tempat yang paling sesuai untuk mengadakan konsert di Johor Bahru. Namun, ia sudah dirobohkan dan Roof Top, City Plaza lokasi yang difikirkan sesuai kerana berkapasiti besar,” kata Joey.

Menurutnya, Roof Top, City Plaza semakin menjadi tumpuan peminat dan pada 14 Disember lalu, kumpulan FTG turut tampil mengadakan persembahan di situ.

“Awang sudah meninjau banyak lokasi untuk cari tempat. Mulanya saya cadangkan buat di Pasir Gudang tapi tempatnya sudah penuh.

“Ada juga lokasi lain yang difikirkan menarik tapi kos sewa agak mahal. Selain itu, ada lokasi yang hanya boleh menempatkan sekitar 300 hingga ke 500 orang tapi kami nakkan lokasi yang lebih besar dan selesa apabila kami nak masukkan sistem bunyi yang bagus,” katanya.

Joey berkata, Konsert Jelajah 1,000 Tahun Takkan Mungkin BPR hanya mengenakan harga tiket RM50 yang dianggap tidak membebankan peminat.

“Kita sekarang berdepan masalah apabila banyak diadakan konsert atau showcase percuma. BPR cuba mengekalkan konsert bertiket walaupun agak sukar. Biasanya kalau letak harga mahal, orang pun tak datang.

“Pada mulanya kami letakkan harga RM100. Namun, bukan senang nak lawan konsert percuma yang ditaja syarikat gergasi tapi kami orang lama dan suka cara begini iaitu jual tiket,” katanya.

Joey berharap banyak lagi kumpulan akan mengikuti cara ini agar dapat mengembalikan semula kegemilangan rock.

“Konsep ini amat penting kerana memberi peluang kepada band baru juga untuk mengembangkan bakat dan mencipta nama. Kalau mereka boleh berusaha macam kami, insya-Allah akan beroleh hasil nanti,” katanya.

Sementara itu, Awang berkata, menerusi sesi penganjuran ini BPR merancang menjelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk bertemu peminat.

“Kami akan buat begini sehingga mampu beraksi di Istana Budaya, sekiranya mampu mendapat penaja daripada syarikat korporat dan swasta.

“Namun sekiranya gagal, BPR tetap akan buat persembahan di Kuala Lumpur mungkin pada hujung tahun depan. Saya bekerja keras uruskan permit, jualan tiket dan susun program persembahan. Anggota lain pun turut membantu. Inilah perjuangan kami untuk buat konsert bertaraf mega,” katanya yang mengharapkan ada penaja yang sudi menaja mereka.

Selain itu, kumpulan Ukays akan ditampilkan sebagai artis undangan konsert terbabit.

Tiket berharga RM50 dan RM70 (termasuk sesi meet & greet) boleh didapati menerusi laman web www.bumiputrarockers.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:15 AM