Fasha Sandha. FOTO File NSTP
Fasha Sandha. FOTO File NSTP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pelakon terkenal, Fasha Sandha terpaksa menolak lebih 15 tawaran daripada beberapa syarikat untuk menjadi duta produk.

Fasha berkata, dia terpaksa menolak tawaran berkenaan walaupun ada pihak yang memberikan tawaran lebih tinggi atas faktor syarikat berkenaan menjual produk sama di pasaran.

Menurutnya, apabila menjadi duta untuk sesebuah produk beliau akan memberi tumpuan dan tidak mahu menerima tawaran lain daripada syarikat yang menawarkan produk sama.

"Kita buat kerana sayang pada produk itu, contoh produk kecantikan atau kurus, ada brand dah 'lock' kita dan ada 'brand' lain pulak nak 'lock' dengan harga lebih tinggi, tapi saya bukan seorang yang fikir berkaitan duit semata-mata.

"Saya fikir apa yang saya guna apa yang saya 'consume' untuk saya kongsi dengan 'followers' saya," katanya yang kini mempunyai 5.3 juta pengikut dalam laman Instagram.

Kata Fasha lagi, dia juga tidak menolak perancangan menjadi usahawan pada masa depan mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya seperti pelakon dan pengacara Neelofa atau pelakon, pengacara, model dan penyanyi, Nur Fazura yang kini bergelar jutawan.

Menurutnya, masanya belum tiba kerana ketika ini amat sibuk dengan kerjayanya dalam bidang lakonan sambil menjadi duta produk tempatan.

"Masih belum lagi bersedia untuk 'slow down' (dalam bidang lakonan). Sekiranya saya mahu berniaga atau nak buat produk kena ada masa yang banyak dan boleh fokus kepada bisnes.

"Saya masih lagi aktif, tak boleh buat dua benda dalam satu masa. Jadi saya fokus untuk lakonan dan jadi duta cari pengalaman dulu, kalau ada rezeki nanti Insya Allah," kata Fasha ketika ditemui selepas pelancaran kedai tekstil Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Mengenai perkembangan bidang lakonan, Fasha berkata, dirinya kini sibuk menjalani penggambaran drama 50 episod bertajuk Malang Si Puteri sebagai watak utama yang akan bersiaran di Astro Ria pada Februari depan.

"Drama ini masih dalam penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan bakal menjadi fenomena.

"Ceritanya sangat luar biasa mengisahkan seorang puteri malang kerana sering ditimpa pelbagai kesusahan dan dianiaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 4:07 PM