ANTARA individu dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian ditahan dalam serbuan di dua kediaman dijadikan sebagai pusat panggilan di Jalan Ceylon, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.  FOTO IHSAN PDRM
ANTARA individu dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian ditahan dalam serbuan di dua kediaman dijadikan sebagai pusat panggilan di Jalan Ceylon, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi serbuan di dua kediaman di Jalan Ceylon, Bukit Bintang, di sini, semalam, dipercayai dijadikan sebagai pusat panggilan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat dan risikan pada 8 malam.

"Hasil serbuan itu, kami menahan 13 individu iaitu 11 lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 23 hingga 38 tahun selain merampas tujuh set komputer riba, 21 telefon bimbit serta satu modem.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi selama hampir sebulan dan menyasarkan mangsa di luar negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, kesemua tangkapan itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Kesemua individu terbabit direman selama tiga hari mulai semalam hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:10 PM